Wanita hilang 2 insan tersayang, anak ditunggu 15 tahun maut tertindih lengan suami diserang sakit jantung. 'Terkulai lemah, wajah kebiruan'

Iklan

 

SAYUNYA hati mendengar kisah ibu ini. Baharu tiga bulan menimang cahaya mata ketiga yang ditunggu selama 15 tahun, si kecil itu pergi selamanya bersama suami tersayang.

Iklan
Iklan

Azura Abdul Malik Yaher, 40, melalui detik pilu usai kembali ke pejabat selepas tiga bulan cuti bersalin.

Memetik Sinar Harian, pembantu tadbir di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu kehilangan suami dan bayinya berusia tiga bulan dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi, Khamis.

Iklan

Si kecil, Muhammad Nur Daniel Nurul Effendy dipercayai maut dihempap lengan si bapa, Nurul Effendy Ibrahim, 35, yang dipercayai secara tiba-tiba terkena serangan jantung yang ketika itu menjaga bayi itu.

Tangannya lelaki berkenaan yang tertimpa pada muka Muhammad Nur Daniel hingga menyebabkan si kecil itu lemas.

Iklan

Azura menyedari insiden itu ketika pulang ke rumah untuk membawa anaknya itu bagi mendapatkan suntikan imunisasi bayi tiga bulan.

Setibanya di rumah, dia terkejut melihat keadaan anak ketiganya itu berada di bawah lengan suami yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Saya terkejut sebab tak ada sebarang kesan darah, bila masuk ke dalam bilik tidur saya lihat kedua-dua yang berada di atas katil dan mereka tidak sedarkan diri.

"Ketika itu saya mendapati suami tidak sedarkan diri dan bayi kami berada di bawah lengannya dan masa kejadian bayi saya masih bernyawa namun keadaanya begitu lemah," katanya.

Ujarnya, setakat ini dia masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian dua insan tersayang.

Jelasnya, terus bergegas ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka namun malangnya si bongsu itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

ANAK & BAPA SEHIDUP SEMATI

Adik kepada Nurul Effendy, Masturadiana Ibrahim, 33, menjadi orang yang dihubungi Azura bagi mendapatkan bantuan.

Beliau yang bekerja sendiri didatangi kakak iparnya dalam keadaan cemas di rumahnya yang terletak di hadapan rumah keluarga itu di Kampung Perigi Hang Tuah.

"Yana, Yana tolong akak Yana, anak akak dah tak bernyawa, dah lemah sebab Rul tiba pengsan, dia hempapkan muka (bayi) dengan lengannya," ungkap Azura.

Yana dalam masa yang sama melihat abangnya, Nurul Effendy dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil bersebelahan bayi itu.

Ujarnya, dia sempat merasa nadi pada leher kecil masih bernyawa lalu terus membawa kakak iparnya bersama bayi itu untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Namun pulang ke rumah, Yana menerima berita duka abangnya sudah tiada.

"Bila dah hantar kakak ipar ke hospital saya pulang ke rumah dan ketika itu ambulans bersama pegawai perubatan telah tiba namun memaklumkan abang kandung saya telah meninggal dunia dipercayai lebih sejam.

"Saya kemudian menghubungi kakak ipar dan ketika itu dia memaklumkan bayi masih sedang mendapatkan rawatan tetapi tidak lama kemudian mangsa disahkan telah meninggal dunia," katanya.

ANAK DITUNGGU 15 TAHUN

Lebih memilukan, Yana mendedahkan, dia bukan sahaja kehilangan abang kandung, malah pasangan suami isteri itu turut kehilangan anak ketiga mereka yang ditunggu selama 15 tahun.

Terdahulu, Yana memaklumkan kakak iparnya ada memaklumkan Nurul Effendy mengadu mengalami sakit dada pada malam sebelum kejadian namun tidak mendapatkan rawatan ke hospital.

Terdahulu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll Mohd Supian Md. Dali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan telah diterima daripada pihak hospital pada jam 9.58 pagi.

Pihaknya dimaklumkan terdapat satu mangsa lelaki berusia 30-an telah meninggal dunia di lokasi dan bayinya telah meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

“Pasukan telah membuat pemeriksaan di kediaman sekiranya berlaku kebocoran gas, namun hasil siasatan lanjut mendapati mangsa mungkin maut akibat serangan jantung, jadi bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berahaya (Hazmat) dibatalkan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melakam berkata, pihaknya akan membantu dari segi pengurusan jenazah kedua beranak itu.

"Bantuan termasuk menyediakan van jenazah untuk membawa pulang kedua beranak ini selepas selesai proses bedah siasat sebelum di kebumikan di tanah perkuburan Islam berhampiran," katanya.

Sumber: Sinar Harian 1, 2, 3