IMPAK terpelanting keluar dari bas semasa nahas di Gerik, Tuan Muhammad Adham Tuan Adnan, 21, mengalami patah tangan kiri, luka di bahagian kaki kanan serta kecederaan di beberapa bahagian badan.
Lebih menyedihkan, dia juga kehilangan tiga orang sahabat baik dalam kemalangan itu. Rakan sama program pengajiannya iaitu Allahyarham Muhammad Adib Hazim Halim, Nurul Fatihah Abu Setaman dan juga Nurul Izyanti Muhamad Azhar.
Ujian bertalu-talu buatnya, dalam keadaan sakit dan lemah, Adham mendapat berita ibunya dimasukkan ke hospital.
Sebaik dibenarkan keluar dari hospital, anak bongsu dalam keluarga ini bergegas ke Hospital Besut untuk melawat insan kesayangannya itu.
Sedih bukan kepalang bila melihat keadaan ibu yang lemah. Zunidah Ibrahim, 51, bukan sekadar OKU penglihatan malah pesakit buah pinggang kronik.
Ibu Adham perlu menjalani pembedahan di leher untuk rawatan dialisis.
Tangan patah, tubuh sakit tapi yang paling berat, hati. Mak ayah Adham, kedua-duanya OKU. Ibunya tidak dapat melihat manakala ayah pula lemah fizikal.
Menerima 24 jahitan dan dimasukkan besi di tangan kiri namun Adham tak pernah fikir tentang kesakitan sendiri. Paling dirisaukan, mak ayah di kampung. Dah tua dan susah bergerak. Siapa nak jaga? Siapa nak bantu?
Syukur, bantuan kerajaan negeri sedikit sebanyak meringankan beban Adham sekeluarga. Kos pembedahan RM2,900 ditanggung sepenuhnya dan tambahan RM1,000 bantuan kecemasan.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu), UPSI ini mungkin akan kembali ke kampus pada Oktober nanti selepas keadaan kesihatan pulih sepenuhnya
Semoga Adham, mak dan ayah dikurniakan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan. Harapnya kisah ini menyentuh hati kita semua untuk terus peduli dan bantu.