BIDANG pekerjaan yang sukar untuk diceburi oleh wanita bukan lagi sesuatu yang mustahil masa kini.
Wanita yang melangkah masuk ke dunia kejuruteraan bukan sahaja menjadi pemain sokongan malah peneraju utama dalam industri.
Sempena sambutan tahunan International Women in Engineering Day (INWED) 2025, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan PLUS Malaysia Berhad telah mengambil inisiatif menganjurkan Forum INWED 2025 buat kali pertama yang diadakan di Dewan Bankuet, Persada PLUS.
Bertemakan ‘Grit, Grace & Growth’ forum ini menjadi platform penting kepada lebih 300 peserta termasuk jurutera muda dan pelajar-pelajar kejuruteraan dari seluruh negara untuk mendengar sendiri kisah inspirasi dari tokoh-tokoh wanita.
Peserta yang hadir dapat mendengar sendiri perkongsian yang penuh bermakna dari:
* Ketua Eksekutif CIDB, Zainora Zainul
* Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar
* Penasihat Kanan The Lantau Group, Datuk Rosalina Zainal
* Jurutera profesional yang sangat berpengalaman, Datuk Ir. Rosaline Ganendra
* Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir. Ts. Dr. Nadzrol Fadzilah Ahmad
* Dekan Institut Pengajian Siswazah, UiTM, Prof. Ir. Dr. Zuhaina Haji Zakaria,
* Pengarah Urusan Edgenta PROPEL Berhad, Raihana Ahmad
Mereka bukan sahaja berkongsi kejayaan, tetapi juga kesukaran yang pernah mereka lalui. Terpaksa membuktikan kemampuan dalam pasukan yang semuanya lelaki sehinggalah bagaimana mereka bangkit membina keyakinan dan terus maju ke hadapan.
Ramai yang terinspirasi bila mendengar kisah bagaimana seorang wanita mampu naik pangkat dari jurutera tapak kepada pengurus besar dan bagaimana mereka menguruskan projek mega sambil tetap komited menggalas tanggungjawab kepada keluarga.
Walaupun cabaran wanita dalam bidang kejuruteraan masih wujud dari segi stereotaip, ketidaksamarataan gaji hingga peluang kenaikan pangkat namun forum seperti INWED 2025 membuktikan bahawa perubahan sedang berlaku.
Jadi, buat anda yang sedang menimbang-tara untuk ceburi bidang ini, jangan ragu-ragu.
Dunia kejuruteraan perlukan lebih ramai suara wanita yang penuh keazaman, kebijaksanaan dan keberanian untuk memimpin perubahan.
Kerana pada akhirnya, jurutera bukan sekadar membina bangunan tetapi membina masa depan.