DIAM itu lebih baik dari berkata-kata apatah lagi jika suaramu itu menyakitkan hati orang lain.
Viral di sosial media sekarang ini tentang perkongsian Dr Md Azhari Md Zhahir yang menceritakan semula pengalaman pahit seorang doktor yang mahu dikenali sebagai Dr Zakwan.
Petugas kesihatan yang jujur dan ikhlas berkhidmat untuk masyarakat tetapi hatinya bagaikan dirobek dengan perangai manusia yang tidak mensyukuri.
Jam menunjukkan pukul 10.45 malam. Klinik sunyi. Hanya satu lampu menyala. Cukup sebagai petanda waktu kerja sudah hampir tamat.
Baru sahaja mahu pulang tiba-tiba beliau dikejutkan dengan kehadiran seorang wanita bersama anak kecilnya.
Pintu dibuka dengan kasar. Lantas si ibu melontarkan kata-kata, “Doktor, takkan dah nak tutup?! Badan anak saya panas tahu?!”
Dikala badan sudah letih, 12 jam bekerja sehari tetapi kerana tanggungjawab beliau perlu memeriksa anak itu.
Tonsil merah dan suhu tinggi. Ubat diberikan dengan penuh teliti malah label ditulis tangan. Belum sempat menarik nafas lega, satu ayat memanah jantungnya.
“Kenapa ubat mahal sangat? Farmasi jual RM10 je! Doktor ni tak ada hati ke?!,” tanya ibu tadi dengan nada kasar.
Esoknya, nama klinik Dr Zakwan muncul di Facebook. Disertakan dengan ulasan panjang yang menyindir, memfitnah dan menuduh dia mementingkan keuntungan. Ruangan komen dipenuhi kata-kata fitnah netizen ibarat menyimbah minyak pada api yang menyala.
Seminggu kemudian, satu lagi tamparan datang. Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) menghubunginya kerana aduan rasmi berkaitan harga ubat yang dikatakan terlalu mahal.
RM2 lebih mahal dari farmasi biasa dan itu cukup untuk membuka kertas siasatan.
Dr. Zakwan buntu. Ubat, sistem komputer, gaji staf dan sewa premis semuanya dari kocek sendiri. Masa buka klinik ini dahulu, beliau rasa bangga tetapi kini ibarat binatang korban dalam kandang.
Dalam dunia hari ini, ramai yang menilai harga tetapi mereka lupa doktor juga manusia biasa yang memiliki perasaan.
Kisah itu bersambung kembali. Sekitar pukul 9.47 malam pada hari yang lain, pintu klinik diketuk lagi. Kali ini, wajah yang muncul buat jantung doktor itu berhenti seketika. Wanita yang pernah memfitnahnya datang ke klinik membawa anak yang sesak nafas.
Walaupun hatinya remuk, Dr. Zakwan tahu anak kecil itu tidak bersalah. Maka, dibuka pintu. Beri rawatan segera. Nebulizer, oksigen dan monitor. Semuanya berjalan lancar.
Dengan muka tak bersalah, si ibu sempat memberi kata-kata pada doktor, “Saya tak nak minta maaf. Ini tanggungjawab doktor. Kalau profesional, doktor patut tahan benda macam ni.”
Dr. Zakwan diam. Tidak membalas. Sebab beliau tahu, kadang-kadang berdiam lebih mulia daripada melawan dengan orang yang tak tahu beza antara marah dan manusiawi.
Walaupun pedih, beliau tetap memilih untuk menjadi manusia yang mempunyai harga diri. Sedih dengan dunia sekarang ini yang mana mereka cepat menghukum, menilai dan menjatuhkan orang lain hanya di hujung jari.
Kisah Dr. Zakwan bukan satu-satunya cerita sebegini di Malaysia. Ramai doktor cuba bertahan dengan segala beban emosi, kewangan, kepercayaan sama ada yang berkhidmat di sektor kerajaan mahu pun swasta.
Lain kali, sebelum kita tekan"send post", marah di kaunter atau buat aduan rasmi, cuba fikir sejenak.
Kadang-kadang kita cuma hilang RM30 tetapi doktor itu mungkin sedang hilang seluruh kepercayaan terhadap manusia. Sedih apabila tidak dihargai.