Belum timang anak tapi rezeki tak putus, Reen Rahim bangga usahakan bisnes sendiri bersama suami

Iklan

SEBUT sahaja nama Reen Rahim, pasti ramai yang terbayang gelagat lucunya yang bersahaja, happy go lucky dan sentiasa menceriakan suasana. 

Pemilik nama penuh, Noreen Ashikin Abdul Rahim itu bukan sahaja dikenali kerana karakter ceria yang mudah didekati, malah bakat lakonannya juga sering dipuji kerana sering tampil penuh jiwa dan versatil. 

Iklan
Iklan

Meniti lebih 15 tahun dalam industri seni, wanita cantik manis itu kini mengorak langkah baharu sebagai usahawan dengan jenama penjagaan diri miliknya. 

Iklan

Bersama suami tercinta, Hazim Zainal, pasangan tersebut gigih membangunkan empayar kecil mereka dari bawah. 

Keberanian dan kerja keras itu membuahkan hasil apabila Reen dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perniagaan Cemerlang Tahunan 2025, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai selebriti yang bukan hanya berbakat, malah berwawasan dan inspiratif. 

Iklan

Ikuti perkongsiannya bersama SinarPlus baru-baru ini. 

Wajah manisnya, jika sekali imbas, salin tak tumpah dengan pelakon terkenal Bollywood, Juhi Chawla. 

Dengan senyuman menawan dan susuk tubuh tinggi lampai, Reen Rahim tampil dengan pakej lengkap untuk mewarnai dunia lakonan tanah air. 

Namun, kelebihan fizikal itu bukan sekadar bonus, sebaliknya bakat lakonannya juga bukan calang-calang. 

Apa jua watak diberi, pasti dilaksanakan dengan penuh penghayatan dan tidak mengecewakan. 

Kini, wanita berusia 36 tahun tersebut melangkah setapak lagi dalam kerjayanya apabila menceburi bidang perniagaan menerusi jenama sendiri dalam industri penjagaan diri. 

Mesra disapa Reen, beliau membuktikan dirinya bukan sahaja pelakon versatil, malah kini turut bergelar usahawan wanita yang disegani. 

Lebih 15 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni lakon, Reen tidak pernah berhenti mencabar kemampuan diri. 

 

Walaupun sudah mencipta nama sebagai aktres popular, dia memilih untuk keluar daripada zon selesa dan mengorak langkah sebagai pengusaha produk menerusi jenama Reen Rahim Hygiene Wash. 

Langkah berani itu nyata membuahkan hasil apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Perniagaan Cemerlang Tahunan 2025 sempena majlis Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2025 yang berlangsung baru-baru ini. 

“Kami berharap kejayaan membangunkan perniagaan ini memberi inspirasi kepada mereka yang sedang berusaha membina jenama sendiri,” ujar Reen yang jelas terharu dengan pengiktirafan tersebut. 

Selain kejayaan dalam bidang perniagaan, Reen turut menerima Anugerah Aktres Paling Dikagumi Malaysia 2025, satu penghargaan yang cukup bermakna selepas lebih satu dekad menabur bakat dalam dunia lakonan. 

Bersama suaminya, Hazim Zainal, pasangan itu memulakan perniagaan daripada bawah. Tanpa jaringan perniagaan besar atau jalan pintas dalam promosi, mereka gigih membina kepercayaan pengguna dengan menitikberatkan kualiti dan keberkesanan produk. 

“Kami sangat terharu dan bersyukur apabila terpilih menerima anugerah yang cukup berprestij ini. 

“Saya tidak pandai memberi nasihat, tetapi percayalah, tiada yang mustahil dalam hidup selagi kita berusaha dan berdoa kepada Tuhan. Jangan pernah abaikan impian anda. Teruskan bermimpi dan berdoa agar dimakbulkan,” ujarnya. 

'Kasar' dengan suami

Meskipun dikenali ramai, Reen mengakui dirinya jauh lebih sederhana di luar dunia glamor. 

“Kalau orang jumpa saya di pasar malam pun, memang itulah diri saya yang sebenar. Saya suka ketawa, sangat mementingkan keluarga dan amat menghargai masa privasi. 

“Pada saya, dunia glamor itu hanya sebahagian daripada kerja. Tapi bila balik rumah, saya adalah isteri, anak, kawan dan seorang wanita biasa yang turut ada emosi serta cabaran hidup,” ujar anak ketiga daripada empat beradik itu. 

Menyentuh tentang keterlibatannya dalam dunia seni, pelakon drama Dhia Kasyrani menyifatkan kemenangannya dalam program realiti Pilih Kasih sebagai titik tolak penting kepada kariernya. 

Namun, pengalaman sebagai usahawan memberi perspektif baharu dalam hidupnya. 

“Itu mengubah pemikiran saya sebagai artis dan wanita. Cabaran paling besar apabila mula berniaga ialah untuk mendapatkan kepercayaan orang. Ada yang fikir artis hanya ikut trend, tetapi kami lakukan ini bersungguh-sungguh. 

"Setiap produk melalui kajian dan ujian sebelum dilancarkan,” jelas pemegang diploma dalam bidang dandanan rambut itu

Dalam masa sama, Reen tidak melatah apabila diajukan persoalan tentang zuriat. 

“Insya-ALLAH, itu semua perancangan-NYA. Kalau diberi rezeki, pastilah kami terima dengan hati terbuka.  

"Buat masa sekarang, kami nikmati masa berdua dan teruskan berdoa,” katanya ringkas. 

Reen turut mengakui bahawa dia masih belajar mengenai erti kehidupan berumah tangga. 

“Saya belajar erti kompromi. Kadangkala bukan tentang siapa betul atau salah, tetapi tentang bagaimana mahu menjaga hati pasangan. 

“Begitu juga dengan gurauan antara kami suami isteri yang dilihat agak ‘kasar’ oleh sesetengah netizen. Saya hanya tersenyum kerana faham mengapa orang cakap begitu. 

“Itulah cara kami bergurau. Nampak kasar kerana momen itu spontan, tetapi suami tahu hati saya macam mana. Kami memang suka usik-mengusik. Tidak ambil hati pun,” katanya, 

Pada masa sama, komunikasi dan kejujuran merupakan kunci utama hubungan mereka, selain sering bergurau untuk meredakan tekanan. 

“Kami bermula dari bawah. Kami jatuh dan bangun semula. Jadi kalau ada sesiapa di luar sana yang sedang berusaha membangunkan perniagaan sendiri, teruskan. 

"Jangan berhenti. Selagi ada doa dan usaha, insya-Allah, pasti akan terbuka jalan itu,” kongsi Reen sebelum menamatkan perbualan.