Sabar dan tidak mudah ‘termakan’ dengan rayuan anak-anak, kisah 13 beradik menghafaz al-Quran ini perlu dijadikan contoh

Iklan

MEMILIKI seorang anak hafiz al-Quran menjadi impian kebanyakan ibu bapa, namun pasangan dari Kampung Patek Kadok, Ketereh, Kelantan ini dikurniakan 13 orang cahaya mata yang sebahagian besarnya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran.

Mohd Rizuhan Jaafar dan isterinya, Hasnah Salleh membuktikan usaha gigih dan doa yang tidak pernah putus mampu menjadikan impian yang mustahil kepada satu kenyataan.

Iklan
Iklan

Menurut salah seorang anak mereka yang berkongsi kisah keluarga ini melalui akaun TikTok @hifzplanner, kesabaran dan kecekalan kedua-dua ibu bapa menjadi tunjang utama kejayaan mereka adik-beradik.

“Walaupun ayah hanya seorang pensyarah dan ibu seorang guru, dalam serba kekurangan mereka tetap utamakan pendidikan agama untuk kami. Setiap bulan, RM400 untuk seorang anak dilaburkan untuk menghantar kami ke pusat tahfiz,” katanya.

Iklan

Mereka rela berkorban demi memastikan anak-anak dibesarkan dengan pendidikan agama sebaiknya apatah lagi mereka tidak dapat memberikan perhatian 24 jam kepada anak-anak kerana bekerja.

 

Iklan

 

“Biarlah maa sederhana, asalkan anak-anak hidup dalam kalam ALLAH,” ini merupakan kata-kata ibunya yang menjadi prinsip hidup mereka sekeluarga.

Pengorbanan pasangan itu bukan sekadar dari segi kewangan, malah tenaga dan emosi juga turut ditagih. Mohd Rizuhan tidak pernah gagal menghantar dan mengambil anak-anak dari pusat tahfiz biarpun penat. Perkara ini tidak pernah disebut di hadapan anak-anak.

Mereka juga perlu berhadapan dengan pelbagai ragam anak-anak. Ada yang menangis enggan ke pusat tahfiz, ada yang berguling-guling atas pasir, berpura-pura sakit, malah ada yang mengejar kereta ayah semata-mata mahu pulang ke rumah. Bukan tak mahu belajar tapi mereka rindukan rumah.

Namun semua itu kini menjadi kenangan yang membanggakan. Lapan daripada 13 beradik telah pun berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran, manakala lima lagi masih dalam perjalanan menuju ke ‘arah’ itu.

Anak sulung, Muhammad Zaim, 33 dan anak keenam, Nur Syakirah, 27 kini bergelar usahawan. Anak ketiga, Fatimah Zaharah, 30 pula merupakan seorang doktor perubatan. Sementara tiga lagi, Mardhiah, Asma’ Nabila dan Nur Syakirah telah memilih menjadi ustazah.

Anak-anak yang lain sedang melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat termasuk di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Kisah keluarga berkenaan menjadi inspirasi ramai warganet yang kagum dengan kekuatan semangat dan pengorbanan pasangan suami isteri tersebut dalam membentuk anak-anak menjadi insan yang mencintai al-Quran.