KETIKA melakukan operasi penyelamatan enam sekeluarga dalam sebuah kereta yang terjunam ke dasar Sungai Korok, Jitra, pihak bomba mendapati semua mangsa berada di tempat duduk belakang kenderaan tersebut.
"Kemungkinan mereka cuba keluar, tetapi tidak berjaya."
Demikian menurut Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim ketika sidang akhbar di lokasi kejadian.
Kereta jenis Proton Saga Iswara itu ditemui tenggelam sepenuhnya, dan para penyelamat hanya mampu menahan hiba saat menjumpai jasad-jasad kecil dan dewasa berkumpul di bahagian belakang kenderaan, seolah-olah mereka sedang berlindung atau mungkin sedang berpelukan buat kali terakhir.
Dalam suasana suram dan duka, segala usaha menjadi saksi bisu kepada detik-detik akhir penuh tragis.
Berikut info lanjut berkaitan perkembangan terbaharu:
1-Mangsa dikenali sebagai Muhammad Azim Izat Ishak, 32, dan isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7; dan Tuah Haidar, enam bulan.
2-Kata Ahmad Aminuddin, pasukan bomba terpaksa memecahkan cermin dan memotong badan kereta bagi mengeluarkan kesemua mangsa.
3-Maklumnya, jasad-jasad berkenaan berada dalam air untuk tempoh tertentu ia akan mengembang dan menyukarkan proses pengeluaran melalui pintu biasa.
4-Pihaknya terpaksa memecahkan cermin belakang dan memotong struktur kenderaan untuk mengeluarkan mangsa.
5-Tambah beliau, jarak antara lokasi kereta tenggelam dan tebing sungai hanya kira-kira satu meter, manakala kedalaman sungai dianggarkan enam meter dengan lebar sekitar 7.6 meter.
6-Katanya, operasi tidak terlalu sukar kerana kereta sudah terapung dan boleh ditarik ke tebing.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri bersama empat anak mereka, termasuk seorang bayi berusia enam bulan, dilaporkan hilang selepas bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Aman dekat sini sejak pagi Sabtu.
Kehilangan mereka disedari apabila mereka tidak pulang ke rumah di Jerlun dan gagal dihubungi.
Adik kepada Muhammad Azim, Nur Adliah Shuhada berkata, abangnya sekeluarga datang bermalam di rumahnya seperti kebiasaan pada Jumaat.
Tambahnya lagi, anak sulung pasangan itu yang berusia 12 tahun tidak ikut serta dan tinggal bersama nenek di Jerlun.
Sumber: Sinar Harian