DALAM sekelip mata, dunia anak sulung keluarga korban tragedi Sungai Korok, Putri Qisya Nur Izzat berubah.
Tiada lagi tawa yang biasa menyambutnya pulang. Pemergian bapa, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan ibu Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat orang adik iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar enam bulan cukup memilukan.
Sahabat ibu Putri Qisya yang dikenali sebagai Aida Ahmad Kamal baru-baru ini berkongsi situasi pilu ketika bertemu gadis kecil itu.
"Hari ni, ALLAH angkat darjat umi dan walid sampai satu Malaysia doakan mereka syurga. Hebatnya umi walid, waktu hayat mereka tidak dikenali namun di akhir usia seluruh pelosok alam ALLAH ini mendoakan mereka.
"Qisya anak hebat, ALLAH hantarkan satu Malaysia doakan Qisya supaya menjadi anak kuat dan hebat. Percayalah cakap ibu, Qisya akan jadi orang yang hebat nanti.
"ALLAH simpan Qisya di dunia untuk jadi anak paling hebat yang menghantar doa dan amalan baik untuk umi walid.
"Ibu janji bagaimana ibu ada selama 20 tahun ini setiap kali umi cari dan perlu ibu, begitu juga ibu akan sentiasa ada untuk Qisya.
"Qisya bukan saja ada mama, baba untuk jaga Qisya tetapi ibu dengan Cikmie pun sentiasa akan ada apabila Qisya perlukan kami," kongsinya.
Dalam perkembangan terbaharu, Putri Qisya ditawarkan tajaan penuh pengajian oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman (LZNK).
Perkara itu dikongsikan LZNK menerusi kenyataannya di Facebook, pihaknya turut memberikan sumbangan wang tunai.
"Dalam kunjungan penuh hiba itu, LZNK turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000.00 dan kit makanan asas bagi meringankan beban keluarga mangsa yang sedang berduka.
"Sebagai salah satu inisiatif jangka panjang, LZNK turut menawarkan tajaan penuh pengajian kepada Putri Qisya, anak kepada mangsa, bagi menyambung persekolahan dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima di Sekolah Tajaan Zakat Kedah, di bawah seliaan penuh pihak LZNK," kongsinya.
SinarPlus terdahulu berkongsi kisah pilu enam sekeluarga yang gagal dikesan sejak Sabtu selepas pulang dari rumah adik di Taman Aman, Jitra.
Kehilangan keluarga itu terungkai apabila orang awam melihat bumbung sebuah kereta yang kelihatan terapung di permukaan Sungai Korok pada pagi Isnin.
Ia membawa kepada penemuan enam sekeluarga tidak bernyawa di dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara yang tenggelam di dasar sungai.
Sumber: Facebook