"SAYA kata tak nampak langsung, bayang kereta. Kalau rosak, tersadai tepi jalan. Saya kata, anak aku jatuh dalam sungai."
Demikian luah ibu mangsa tragedi Sungai Korok, Allahyarham Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi iaitu Roswati Zainol, 52.
Menerusi sebuah video di TikTok Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman (LZNK), Roswati dalam sebak mendedahkan berusaha sedaya upaya mencari Allahyarham Nurul Hidayah sekeluarga yang didapati tidak pulang pada Sabtu lalu.
"Ya ALLAH, kalian tak balik lagi, kalian nak balik berniaga. Kalian duduk di mana? Umi rasa kalian semua dalam sungai.
"Saya balik pada malam itu, cuba telefon tak dapat. Ya ALLAH, ini bukan caranya. Ada sesuatu jadi pada anak saya.
"Apabila sudah menjelang malam, mereka buat laporan dan semua. Anak saya pun kata 'Umi, kita buat viral.' Saya kata ikutlah, buatlah. Kita sudah tiada cara untuk mencari.
"Kami cari sampai jam 3, 4 pagi. Kami sudah pusing di kawasan sungai dan sebagainya. Buatlah (viral)," katanya.
Dalam menghadapi situasi buntu ketika itu, Roswati turut menjelaskan keluarga turut berikhtiar dengan menunaikan solat hajat.
"Solat hajat dan baca Surah Yasin. (Pada malam itu) saya tak tidur. (Saya kata) Ya ALLAH, kalau tiada pun saya reda tapi bagilah jumpa," tutur Roswati dengan linangan air mata.
Ditanya mengenai satu-satunya anak Nurul Hidayah yang masih ada, iaitu Putri Qisya Nur Izzat, Roswati menjelaskan kanak-kanak itu semakin menerima ketiadaan ibu bapa dan keluarga.
"Setakat semalam, nampak dia macam kuatlah. Tahan, tengok dan cuba terima.
"Tetapi hari ini nampak dia macam terduduk sikit. Jenazah walid dan uminya dia boleh tengok.
"Namun saya sendiri yang tak kuat nak tengok. Saya katakan kepada cucu, Qisya, menangislah, lepaskan. Tak boleh ditahan, nanti kita sakit. Dia tak menangis lagi.
"Sampai semalam dia di sana (tanah perkuburan), baru dia menangis. Mungkin juga kerana letih," katanya.
Dalam pada itu, Putri Qisya juga telah ditawarkan tajaan penuh pengajian oleh LZNK.
Selain itu, LZNK juga menyampaikan sumbangan wang tunai RM1,000 dan kit makanan asas bagi meringankan beban keluarga mangsa yang sedang berduka.
Putri Qisya juga dalam masa sama telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian peringkat menengah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan dijadikan anak angkat sehingga menjejakkan kaki ke peringkat universiti.
Selain Nurul Hidayah, tragedi menyayat hati itu meragut nyawa suami wanita itu, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, bayi lelaki berusia enam bulan.
Kesemua jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, Jerlun.
SinarPlus terdahulu berkongsi kisah pilu enam sekeluarga yang gagal dikesan sejak Sabtu selepas pulang dari rumah adik di Taman Aman, Jitra.
Kehilangan keluarga itu terungkai apabila orang awam melihat bumbung sebuah kereta yang kelihatan terapung di permukaan Sungai Korok pada pagi Isnin.
Ia membawa kepada penemuan enam sekeluarga tidak bernyawa di dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara yang tenggelam di dasar sungai.
Sumber: TikTok