"YANG paling makcik sedih sekali, dia minta halalkan susu yang diminum.
Demikian luah Nazirah Ismail, ibu kepada Mohamad Azim Izat Ishak yang meninggal dunia dalam tragedi di Sungai Korok, Sabtu lalu.
Tidak menyangka anak lelakinya akan 'pergi' secepat itu, pertemuan terakhir mereka pada 27 Jun di pondok pengajian agama di Kampung Palas di Kodiang masih berbekas hatinya. Malah kata-kata Mohamad Azim Izat yang mesra disapa Azim masih terngiang-ngiang di telinga.
Menerusi temu ramah bersama Sinar Harian, Nazirah yang merupakan pesara guru berkata, ketika itu Azim memeluknya dengan kuat.
"Azim peluk mak cik. Sudah menjadi kebiasaan apabila dia nak balik atau sesudah sembahyang, dia akan peluk mak cik. Selalu kami akan solat berjemaah.
"Benda-benda yang dia tak pernah cakap," kata wanita berumur 67 tahun itu.
Nazirah yang tidak menjangka itu adalah permohonan maaf terakhir Azim dan cuba menenangkan anaknya di samping beranggapan tiada apa yang luar biasa.
Malah, bapa kepada enam cahaya mata itu sempat memeluknya sebanyak dua kali sebagai tanda perpisahan abadi.
"Abang apa merapu ni. Saya kata, mak tak pergi ke mana-mana.
"Yang paling mak cik sedih sekali, dia minta halalkan susu. Sedih sangat lepas itu.
"Pada hari dia nak balik, sudah peluk, dia dah cakap sebelum itu tapi tak puas hati. Dia sebut minta halalkan susu.
"Dia peluk kali kedua padahal ketika itu sudah masuk kereta, dia keluar semula. Dia peluk lagi, mak cik kata abang ni kenapa?
"Kali terakhir dia peluk, dia kata abang nak minta maaf dan halalkan setiap titik susu yang abang minum.
"Mak cik tak terlintas apa langsung dan beritahu abang merapu apa ni.
Dia langsung tidak terlintas, perbualan tersebut mempunyai makna yang sangat besar sehingga tiba pada hari kejadian.
"Mak cik tak terfikir langsung. Seminggu lepas itu, apabila berlaku kejadian ni mak cik rasa luar biasa.
"Kita tak terfikir semua macam ni. Mak cik ada kata kepadanya, abang kenapa ni? Dia kata biasa sahaja dia kata.
"Untuk abang dan adik, mak halalkan dunia akhirat. Mak cik ketika itu rasa dia agak lain.
"Malah, Azim sempat berkata, dia juga berasa seperti tidak mahu lepaskan saya," kongsinya lagi.
Mengulas mengenai kehilangan empat cucu dalam kejadian tersebut, Nazirah berkata, Putra Rayyan, 9, antara yang menunjukkan perubahan ketara dan menjadi sangat manja dengannya.
Sebelum ini, media melaporkan enam sekeluarga ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta yang terjunam ke dalam Terusan Sungai Korok pada Isnin.
Mangsa ialah Azim, isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak mereka iaitu Putra Rayyan, Hawa Adriana, 8, Annayla Humaira, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.
Sumber: Sinar Harian, Sinar Harian 2