BERGELAR selebriti popular dan jadualnya yang sentiasa padat dengan pelbagai komitmen seni, namun Alif Satar tetap tidak lupa untuk mengutamakan keluarganya.
Alif bukan sahaja bersinar dalam bidang seni, tetapi dalam masa yang sama bijak menjaga keseimbangan antara kerjaya dan keluarga. Dengan prinsip hidup yang berteraskan kasih sayang, hormat kepada ibu bapa dan usaha tanpa henti, tidak hairanlah Alif kekal relevan dan disegani ramai.
Menerusi perkongsian baru-baru ini, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui tidak pernah terlepas satu hari pun tanpa menghubungi ibu dan ayahnya.
Bagi Alif, itu sudah menjadi seperti ‘ritual’ harian yang wajib dilakukan.
“Hari-hari saya akan telefon mama. Tidak kisahlah tengah sibuk ke, dalam kereta nak pergi kerja ke, tetap juga saya akan telefon. Mama, ayah dan isteri. Memang saya akan kemas kini mereka setiap hari,” katanya.
Tambah pemilik nama sebenar, Muhammad Alif Mohd Satar, meskipun dia berada di tengah perhatian ramai, kejayaan yang dikecapinya hari ini bukanlah hasil usaha dirinya seorang.
Sebaliknya, ia diperoleh hasil keberkatan doa orang tersayang iaitu ibu, ayah, isteri dan anak-anak.
Pesan mereka pula satu, jaga diri dan jangan lupa asal usul.
"Pesanan mama dan ayah supaya jaga diri dan apa yang saya peroleh ini hasil daripada doa mereka," ujarnya.
Bercerita tentang isterinya, Shadila Hadid, Alif mengakui sangat bersyukur kerana dikurniakan pasangan hidup yang memahami dan sentiasa menyokong perjalanan kerjayanya.
Ketika ditanya mengenai kebiasaan isterinya yang gemar berkongsi gambar papan iklan menampilkan wajah Alif sebagai duta, jawapan penyanyi dan pelakon ini cukup merendah diri.
“Alhamdulillah, saya tidak pernah rasa bangga dengan semua itu. Itu semua kerja saya. Sekarang bila dia tengok saya ‘sibuk’ pergi ke sana sini, dia tahu lah saya bukan menghilang saja-saja. Tapi bila dia kongsi gambar-gambar itu, itu untuk kandungan media sosial dialah,” kata anak sulung daripada empat beradik itu lagi.
MERENDAH DIRI
Bapa kepada tiga cahaya mata itu juga mendedahkan rasa terharu dan gembira apabila anak-anaknya menunjukkan papan iklan dan berkata, “Itu daddy!”
"Alhamdulillah, syukur. Cuma saya lebih senang merendah diri dan anggap itu semua sebagai sebahagian daripada kerja, bukan sesuatu yang perlu dibangga-banggakan," ungkapnya lagi.
Dalam pada itu, Alif turut berkongsi keterujaan apabila sekali lagi dipilih menjadi duta rasmi GB Gold untuk tahun kedua berturut-turut.
Kerjasama itu diumumkan sendiri oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GB Gold, Tuan Shahfizzam Moideen semasa pelancaran produk emas terbaharu mereka baru-baru ini.
Apa yang menarik, produk baharu GB Gold kali ini direka dalam bentuk keris yang cukup unik dan sarat dengan elemen seni budaya.
Ia hadir dalam dua bentuk iaitu satu dinar dan jongkong emas satu gram. Semuanya menggunakan emas tulen 999.9.
Menurut pengacara popular itu, tawaran yang diperoleh disambut baik sekali gus mahu seiring dengan jenama berkenaan dalam menyeru orang ramai supaya mula menyimpan dan mengumpul emas, khususnya wanita dan generasi muda.
“Saya pernah ajak orang ramai beli macam-macam produk. Tapi kali ini, saya seru untuk beli emas. Emas ini tidak akan rugi. Ia boleh jadi pelaburan jangka panjang,” katanya.
Alif juga menyarankan agar lebih ramai wanita mengenali apa itu emas fizikal dan mula menyimpan untuk masa depan.
Sementara itu, Tuan Shahfizzam dalam kenyataannya menjelaskan, rekaan berbentuk keris itu bukan sekadar menyimpan nilai kekayaan, tetapi juga melambangkan warisan budaya Melayu.
Katanya lagi, produk tersebut dihasilkan dengan penuh jiwa seni dan ketelitian, serta kekal menggunakan emas tulen.
“Emas berbentuk keris ini bukan main-main. Ia melambangkan budaya kita. Dan yang penting, kualiti tetap emas 999.9,” katanya dengan bangga.
Bagi GB Gold, kerjasama bersama Alif bukan hanya tentang jenama semata-mata. Mereka melihat Alif sebagai figura yang membawa nilai positif, inspirasi dan imej yang tepat dengan misi syarikat.
“Kami berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan Alif Satar, seorang artis yang sinonim dengan nilai-nilai positif dan inspirasi. Beliau sangat sesuai dengan imej GB Gold,” kata Tuan Shahfizzam.