MENYUSUKAN bayi mungkin kelihatan seperti sesuatu yang semula jadi, namun di sebaliknya terselit pelbagai cabaran yang hanya difahami oleh seorang ibu yang melaluinya.
Daripada mencari maklumat yang betul, menyesuaikan diri dengan rutin baharu hinggalah mengurus keperluan bayi dan keluarga, perjalanan penyusuan bukan sentiasa mudah.
Malah, sokongan daripada orang sekeliling boleh menjadi antara perkara penting yang membantu seorang ibu terus yakin dengan pilihannya.
Perkara itu diketengahkan menerusi inisiatif Empowering Every Mother’s Journey anjuran Toshiba Lifestyle Malaysia bersempena Bulan Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2026.
Forum berkenaan menghimpunkan pakar, wakil masyarakat dan individu yang berkongsi pengalaman untuk membincangkan realiti penyusuan susu ibu, termasuk cabaran serta kepentingan mewujudkan persekitaran yang menyokong ibu dan bayi.
Menurut Ketua Pengurusan Jenama Toshiba Lifestyle Malaysia, Vanice Foo, usaha memperkasakan ibu perlu hadir dalam bentuk yang lebih menyeluruh.
“Dengan menggabungkan teknologi, pendidikan dan keprihatinan komuniti, kami berhasrat untuk menyokong para ibu sepanjang perjalanan penyusuan mereka serta menyumbang kepada permulaan kehidupan yang lebih sihat untuk bayi yang baru lahir,” katanya.
Majlis itu turut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat, Yeo Bee Yin.
Beliau berkata, penyusuan susu ibu bukan hanya tanggungjawab seorang wanita, sebaliknya memerlukan sokongan keluarga, komuniti dan golongan profesional kesihatan.
“Para ibu mungkin terpaksa menghadapi pelbagai cabaran setiap hari. Justeru, kerjasama antara sektor awam dan swasta penting dalam mendidik serta membina persekitaran yang lebih selesa dan sihat bagi para ibu dan bayi,” katanya.
Sementara itu, Perunding Laktasi Bertauliah dan Pakar Penjagaan Bayi, Elizabeth Richard, menjelaskan susu ibu membekalkan nutrien serta manfaat perlindungan yang penting untuk tumbesaran dan perkembangan bayi.
Namun, katanya, kekurangan maklumat tepat, sokongan serta tekanan menguruskan tanggungjawab harian boleh menjejaskan keyakinan ibu.
Turut berkongsi pandangan ialah model, penggiat seni seramik dan pejuang kesejahteraan, Natasha Hudson yang mengingatkan bahawa setiap pengalaman keibuan adalah berbeza.
“Mendapatkan sokongan yang tepat boleh memberikan perubahan yang bermakna. Perbincangan seperti ini penting untuk mengingatkan kita bahawa kesejahteraan seorang ibu juga amat penting,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, Toshiba Lifestyle Malaysia turut menyumbangkan pelbagai perkakas rumah bernilai kira-kira RM60,000 kepada tiga pusat penjagaan selepas bersalin.
Sumbangan berkenaan termasuk peti sejuk, mesin basuh, mesin pengering dan mesin pencuci pinggan mangkuk bagi membantu menyediakan persekitaran lebih selesa untuk ibu dan bayi.
Toshiba Lifestyle Malaysia turut menerima pengiktirafan daripada Parenthood Records bagi kategori “Sumbangan Peralatan Rumah Terbanyak kepada Pusat Penjagaan Selepas Bersalin”.