SALAH seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan baru-baru ini, Allahyarham Nurly Sahirah Azman, terus menjadi perhatian masyarakat. Sejak pemergiannya pada 9 Jun lalu, kediamannya menjadi tumpuan orang ramai yang ingin melihat sendiri al-Quran tulisan tangan atau tahriri milik hafizah al-Quran itu.
Dalam perkembangan terkini, bapanya, Azman Mohamad, 63, memaklumkan menerusi laman sosial kenalan keluarga bahawa lawatan ke rumah mereka dibekukan buat sementara waktu kerana mereka sekeluarga akan menunaikan ibadah umrah.
Katanya, tarikh akhir lawatan ke rumah arwah adalah pada 31 Julai 2025 dan bermula 1 hingga 8 Ogos, lawatan akan dihentikan sementara. Dia memohon maaf dan berharap semua pihak memahami keputusan tersebut kerana keluarga mereka telah terpilih untuk mengerjakan umrah. Tambahnya, lawatan ke rumah akan dibuka semula pada 1 September 2025.
Dalam pada itu, lelaki tersebut turut memaklumkan bahawa ziarah ke pusara anaknya tidak dihadkan dan boleh dilakukan pada bila-bila masa mengikut keselesaan pengunjung.
Hantaran menerusi laman sosial TikTok itu menerima lebih 300,000 tontonan. Warga maya rata-rata tersentuh dengan kebaikan hati keluarga Allahyarham dan mendoakan agar ibadah umrah Azman dan isteri dipermudah.
"Masya-ALLAH, baiknya hati keluarga Allahyarham Nurly Sahirah. Bapanya tutup lawatan bukan sebab mahu rehat tapi kerana tunai umrah dan buka balik selepas pulang. Betapa mereka memuliakan tetamu."
"Semoga dipermudahkan urusan Pak Cik Man dan isteri pergi dan balik dengan selamat. Moga umrah berjalan lancar, aamiin."
"Bagus bapa arwah maklumkan terlebih dahulu supaya orang yang ziarah tak tertanya-tanya."
Terdahulu, media melaporkan bahawa keluarga kepada 15 pelajar UPSI yang terkorban dalam nahas tersebut menerima tajaan menunaikan umrah daripada sebuah agensi pelancongan. Difahamkan, kumpulan pertama yang terdiri daripada lima keluarga akan berangkat ke Tanah Suci pada 13 hingga 24 Julai, manakala kumpulan kedua yang disertai empat keluarga pula dijadualkan berlepas pada 20 hingga 31 Julai. Kumpulan terakhir pula akan bertolak pada 7 sehingga 18 September 2025.