PEMERGIAN enam ahli keluarga masih membekas di hati Putri Qisya Nur Izzat, 12. Hiba hati mengenangkan anak seusianya yang masih memerlukan kasih sayang ibu dan ayah. Ahli keluarga serta masyarakat juga tidak lekang memberi perhatian, termasuk seorang ibu, Nurul Hidayah Ab Basir, 38.
Lebih-lebih lagi apabila anaknya, Nureen Keisya Adelea Mohamad Yazid, sangat seiras dengan Putri Qisya. Sudahlah nama pun seakan sama, wajah dan susuk tubuh juga persis.
Istimewanya, kedua-dua remaja perempuan itu mempunyai nama ibu yang sama, iaitu Nurul Hidayah.
Penjawat awam itu menerusi TikTok berkongsi pertemuan empat mata antara Putri Qisya dan Nureen Keisya Adelea baru-baru ini.
Kepada Sinar Harian, beliau meluahkan rasa terpanggil untuk menziarahi kanak-kanak tersebut setelah mendapat tahu tragedi yang menimpa keluarga anak sulung pasangan berkenaan.
"Apabila saya melihat wajah Putri Qisya, saya teringat anak saya. Memang serupa dari segi paras rupa, warna kulit, ketinggian dan nama. Rasa macam dia anak saya.
"Selain nama panggilan mereka sama, nama saya juga sama dengan Allahyarham ibunya, Nurul Hidayah, dan saya kata kepadanya, dia boleh panggil saya ‘mummy’.
Berhasrat untuk meneruskan hubungan antara mereka supaya tidak terputus, Nurul Hidayah mahu terus berhubung dengan Putri Qisya dan berharap remaja perempuan itu dapat belajar di sekolah yang sama dengan anaknya tahun hadapan.
Mengakui simpati dan naluri keibuan tidak tertahan buat remaja itu, beliau berharap dapat memantau keadaan Putri Qisya dari semasa ke semasa.
"Seorang wanita tidak lari daripada sifat keibuan, apatah lagi melihat seorang anak kehilangan tempat berpaut.
"Saya tumpang bersedih dengan kejadian yang berlaku kepadanya dan mendoakan anak ini sentiasa berada dalam lindungan serta jagaan orang baik," ujarnya.
SinarPlus terdahulu berkongsi kisah pilu enam sekeluarga: Muhammad Azim Izat Ishak, 32; isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31; serta empat orang anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan, yang gagal dikesan sejak Sabtu selepas pulang dari rumah adik di Taman Aman, Jitra.
Kehilangan keluarga itu terungkai apabila orang awam melihat bumbung sebuah kereta terapung di permukaan Sungai Korok pada pagi Isnin.
Ia membawa kepada penemuan enam sekeluarga yang tidak bernyawa di dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara yang tenggelam di dasar sungai.
Ketika kejadian, Putri Qisya tidak mengikuti keluarganya kerana hatinya berasa berat untuk ikut serta.
Sumber: Sinar Harian