DUNIA permotoran tempatan masih dirundung pilu dengan kehilangan salah seorang figura dikenali ramai, Ija Nizaruddin, atau nama sebenarnya Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin.
Berita mengenai dirinya yang dipercayai hilang selepas kereta Perodua Axia dinaiki terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Kampung Tui, Bukit Kepong, Muar, Johor, terus menjadi tanda tanya.
Dengan lebih 53,000 pengikut setia di Facebook, Ija bukan sekadar pempengaruh, beliau merupakan sahabat kepada ramai, sumber inspirasi dan suara yang lantang dalam komuniti dua roda dan empat roda tanah air. Kini, kehilangannya meninggalkan ruang kosong yang sukar diisi.
Pada masa sama, ahli keluarganya masih menaruh harapan dalam menerima khabar pempengaruh berusia 33 tahun itu masih hidup.
Sepupunya, Norzilah Yunos, 40, berkata, seluruh ahli keluarga tidak putus berdoa agar segala urusan pencarian oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dipermudahkan.
“Kami masih berharap ada khabar baik. Mungkin bukan kes lemas. Namun, apa pun keadaannya kami hanya mahukan kepastian dan kejelasan,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian di Sungai Tui, Bukit Kepong.
Menurut Norzilah, dia menerima berita mengenai kehilangan sepupunya pada Isnin dan terus mengambil keputusan untuk datang ke Bukit Kepong dari Melaka.
“Sejak hari pertama kehilangan disedari, pelbagai usaha telah dijalankan termasuk bacaan Yasin, selain rakan-rakan Ija turut membantu mencari di sekitar kawasan.
“Ija seorang yang baik, ramai mengenalinya dan semua mengharapkan agar dia ditemui,” katanya.
Dalam pada itu, Norzilah turut menyeru orang ramai agar menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih dan spekulasi yang boleh menggores perasaan keluarga.
“Kami minta orang ramai doakan yang baik-baik sahaja,” ujarnya.
Terdahulu, pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Tengku Nizaruddin hilang selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya terjunam ke dalam sungai berkenaan.
Bagaimanapun mangsa tidak ditemui di dalam kenderaan tersebut.
ADIK & ISTERI DIRAKAM KETERANGAN
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz memaklumkan bahawa kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai orang hilang.
Beliau juga memaklumkan isteri dan adik Ija telah diambil keterangan pada malam Selasa.
Difahamkan, adiknya merupakan individu terakhir yang berjumpa dengan Ija pada kira-kira jam 3.30 petang pada hari kejadian di kawasan Bukit Kepong.
Mereka telah berkonvoi dari Johor Bahru ke Muar sebelum berjumpa sebentar di kawasan Bukit Kepong sebelum masing-masing beredar ke destinasi masing-masing.
Rekod juga menunjukkan talian telefon Ija sudah tidak aktif sejak hari dia dikatakan hilang.
Memasuki hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR), kawasan pencarian sehingga radius dua kilometer meliputi kawasan sungai dan kampung sekitar melibatkan seramai 60 anggota, termasuk daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Usaha pencarian tertumpu di permukaan sungai menggunakan bot milik polis dan bomba, selain pemantauan udara dengan bantuan dron milik JBPM.
Sumber: Sinar Harian