PENYANYI dan pelakon, Bella Astillah melalui satu hari yang penuh emosi dan keletihan sebagai seorang ibu apabila kedua-dua anaknya menghadapi momen yang sangat berbeza namun sama penting dalam hatinya.
Anak kelahiran Sabah itu mencoretkan isi hati menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
Menurut Bella, anak lelakinya, Ayden, terjatuh dan mengalami luka di bahagian kening yang mengundang situasi mencemaskan, sekali gus menggusarkan jiwa seorang ibu.
Pada masa sama, anak bongsunya, iaitu Ara, mencatat detik bersejarah apabila membuat kemunculan pertamanya di pentas konsert balet sekolah.
Dedah pemilik nama sebenar, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, biarpun detik tersebut menjadi antara yang paling mencabar, namun ia cukup bermakna dalam kehidupannya sebagai ibu.
“Hari ni mommy jadi full-time driver! And today was a rollercoaster. Ara had her very first ballet concert! She’s only 5, and I was so excited to be there for her.
“Tapi dalam tengah sibuk tu, Ayden jatuh ya ALLAH, kening dia luka teruk (mummy dia menangis dalam hati je), and we had to rush to the clinic,” kongsi Bella yang menggambarkan betapa sukarnya menyembunyikan rasa sedih dan panik ketika itu.
Namun sebagai ibu yang cekal, Bella tetap berusaha untuk hadir semula ke konsert anak perempuannya selepas selesai membawa Ayden mendapatkan rawatan.
“Lepas semua tu, patah balik ke concert sebab pagi tadi cuma rehearsal, petang baru the real show. Alhamdulillah, sempat sampai,” katanya, bersyukur masih sempat melihat persembahan Ara walaupun dirinya dalam keadaan penat dan letih.
HARTA PALING BERHARGA
Biarpun fizikal dan emosinya benar-benar diuji pada hari tersebut, momen sebegitu adalah memori yang akan kekal dalam hatinya sebagai seorang ibu.
“It was such a long, emotional day. Penat, risau, happy semua rasa ada. But this... this is the kind of memory that stays forever in a mother’s heart,” katanya penuh makna.
Dalam pada itu, pelakon tersebut turut menzahirkan kasih dan sayangnya terhadap dua anaknya dengan penuh keikhlasan.
“Harta paling berharga saya, mereka,” luahnya, menzahirkan betapa Ayden dan Ara merupakan kekuatan utamanya.
Dalam masa sama, Bella turut menitipkan pesanan buat para ibu bapa di luar sana agar sentiasa hadir dalam kehidupan anak-anak.
“To all the mothers and fathers out there, showing up matters. Just look at how precious their little faces light up when they see us there.
“It’s not about being perfect, it’s about being present,” katanya, memberi peringatan bahawa kehadiran ibu bapa memberi impak besar dalam kehidupan seorang anak.