INSIDEN kanak-kanak lemas di sebuah rumah inap di Melaka menyentuh hati ramai.
Dalam kejadian di kondominium Taman Kota Shahbandar Kota Laksamana, tular di laman sosial video kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dilaporkan kritikal selepas lemas di kolam renang.
Dalam perkembangan terbaharu, Ahmad Firdaus Iqbal disahkan meninggal dunia pada pagi Selasa.
Perkara itu dimaklumkan bapa kanak-kanak berkenaan, Ahmad Ridzuan Supian, 36, selepas mengesahkan poster yang dimuat naik Sekolah Kebangsaan (SK) Rinting 3 Johor tentang pemergian puteranya yang tersayang.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, jenazah anak bongsu daripada dua beradik itu telah diserahkan pada waris pada jam 12.05 tengah hari untuk proses pengebumian.
Berikut adalah kronologi kejadian yang menyayat hati:
Ahad, 20 Julai 2025
-Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Zahery Mohd Zailani memaklumkan kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 9.45 pagi. Tiga jentera termasuk van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota dihantar ke lokasi.
-Setibanya di lokasi, kanak-kanak itu telah dikeluarkan dari kolam oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
-Anggota bomba segera memberikan bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
- Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut selepas menerima CPR di lokasi kejadian.
-Si kecil itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka.
-Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem, kanak-kanak berkenaan belum sedarkan diri sedang menerima rawatan.
-Sementara itu, waris meminta agar orang ramai turut mendoakan ada keajaiban ALLAH yang menyelamatkan anak mereka.
Isnin, 21 Julai 2025
-Selepas 16 jam bertarung nyawa, bapanya memuat naik hantaran di laman sosial menyatakan Ahmad Firdaus Iqbal disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka.
“Doakan cahaya mata kami ditempatkan bersama-sama orang yang beriman… ALLAH lebih sayangkannya,” tulis bapa mangsa dalam kapsyen video TikTok yang dimuat naik.
-Bagaimanapun, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Datuk Kalsom Noordin yang hadir melawat memaklumkan anak kecil itu masih menerima rawatan dan masih bergantung sepenuhnya dengan mesin bantuan pernafasan.
-Kalsom memaklumkan, bahagian otak sudah tidak lagi berfungsi atau mati otak.
-Beliau juga memberitahu, si bapa ketika itu tidak dapat mengawal emosinya dan memaklumkan bahawa anak lelakinya yang kritikal telah meninggal dunia.
-Ujar Kalsom lagi, satu prosedur khas akan dijalankan pada Selasa untuk mengetahui adakah sama ada si kecil itu boleh diselamatkan sekiranya mesin bantuan pernafasan dicabut.
Sumber: Sinar Harian