‘Suami tak nak cerai ke?’ - Syamimi Afrina dikecam hanya kerana tanda lahir di dahi

Iklan

TIDAK dapat dinafikan bahawa memiliki tanda lahir yang ketara terutama pada wajah atau bahagian tubuh yang terdedah akan sering mengundang perhatian orang ramai.

Namun begitu, keadaan ini bukan sesuatu yang memalukan, sebaliknya satu ciri semula jadi yang tidak wajar dijadikan bahan ejeken atau sindiran.

Iklan
Iklan

Pempengaruh media sosial, Syamimi Afrina turut tidak terkecuali berdepan dengan pelbagai komen negatif daripada warganet hanya kerana memiliki tanda lahir yang jelas di bahagian dahinya.

Dalam satu hantaran video di TikTok Kool 101, Syamimi mendedahkan terdapat individu yang membuat kenyataan tidak wajar termasuk mempersoalkan status rumah tangganya hanya kerana tanda lahir tersebut.

Iklan

“Ketika itu saya sedang buat live di TikTok dan setiap kali orang akan tanya dekat dahi saya ini apa, kemudian ada seorang mak cik bertanya, ‘suami tak nak cerai ke ada tanda lahir dekat dahi’.

“Waktu itu saya terkejut sangat dan macam mana mak cik ini boleh terfikir soalan seperti ini sedangkan sebelum saya kahwin, terang-terang suami nampak tanda lahir ini,” katanya.

Iklan

Meskipun berdepan kata-kata menyakitkan hati, Syamimi memilih untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang meninggalkan komen jelik dan hanya menghadapinya dengan sabar.

“Buat masa ini, saya hanya bersabar dan tidak pernah lagi ambil sebarang tindakan tetapi ada juga yang mesej saya secara peribadi untuk minta maaf. Masa mereka cakap tentang saya dulu, tak fikir pula tentang kesan,” ujarnya.

Menyedari ramai yang mungkin mengalami situasi serupa, Syamimi menasihati mereka agar memperkukuh ketahanan mental kerana soalan-soalan yang tidak sensitif pasti akan datang tanpa diminta.

“Kepada sesiapa yang ada tanda lahir atau ibu bapa yang anak mereka ada tanda lahir, saya faham bukan mudah tapi kita kena kuat dari segi mental sebab akan ada pelbagai persoalan tentang keadaan ini,” tambahnya.

Syamimi juga bertekad untuk terus menyebarkan kesedaran bahawa memiliki tanda lahir bukan sesuatu yang janggal atau memalukan.

“Saya mahu lebih ramai sedar yang tandar lahir ini perkara biasa. Saya nak masyarakat anggp ia bukan lagi sesuatu yang pelik,” ujarnya.