PENYANYI bersuara lantang, Hafiz Suip akhirnya tampil berkongsi perkembangan terkini mengenai rumah tangganya yang sudah berakhir. Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 35, mengesahkan dia dan isteri, Nureffy Jasreel Abdullah telah sah bercerai talak satu pada 29 Mei lalu di Mahkamah Syariah Shah Alam.
Menurut Hafiz, hak penjagaan dua anak lelaki mereka diberikan kepada bekas isteri kerana dia percaya seorang ibu adalah tempat terbaik buat anak-anak membesar.
Katanya, kalau dia sendiri berada di tempat anak-anak, sudah pasti ibu yang akan jadi pilihan. Tambahnya lagi, soal hak penjagaan bukan sesuatu yang perlu diperdebatkan sampai bila-bila kerana akhirnya emosi anak-anak yang akan terganggu.
Dalam sesi ramah mesra bersama media yang berlangsung di Bienz KL, Wangsa Maju baru-baru ini, Hafiz berkongsi bahawa meskipun sudah berpisah, hubungan dengan bekas isteri kekal baik demi kesejahteraan anak-anak.
Kini menetap di Kuching, Sarawak, Hafiz tetap memainkan peranan sebagai bapa dan meletakkan keutamaan untuk menjaga emosi dan kestabilan anak-anak.
"Buat masa ini, saya dan bekas isteri masih berbincang tentang cara terbaik untuk saya bertemu mereka. Mungkin sebulan sekali saya akan ke Kuala Lumpur,” katanya.
Hafiz juga menegaskan dia tidak mahu terus berada dalam fasa ‘berperang’ atau berselisih faham yang hanya menambah tekanan kepada semua pihak. Katanya, proses perceraian sebelum ini sudah cukup memenatkan dengan urusan turun naik mahkamah, jadi kini dia hanya mahu memilih jalan damai dan tenang.
Dalam menghadapi ujian rumah tangga ini, Hafiz tetap bersikap terbuka dan reda. Baginya, apa yang berlaku adalah takdir dan satu bentuk pengajaran yang mendewasakan.
"Kalau kita berdamai dengan takdir, hati kita akan lebih tenang,” ujarnya.
Penyanyi lagu Awan Nano itu turut menitipkan pesanan kepada mereka yang ingin mendirikan rumah tangga agar benar-benar membuat keputusan dengan matang.
"Kalau nak kahwin, kena fikir masak-masak dan bersedia secara mental dan emosi,” tambahnya.
Sekadar info, Hafiz dan Nureffy mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki, Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5 tahun.
Meskipun tidak lagi bersama sebagai pasangan, Hafiz tetap komited memainkan peranan sebagai bapa dan berharap perjalanan hidup seterusnya lebih tenang dan positif.