'Nak kekal lama, jangan bagi penonton muak' – Faizal Hussein tegur budaya hebahkan hal peribadi artis di media sosial

Iklan

DI sebalik kemilau dunia seni, ada sisi realiti yang jarang dibualkan secara terbuka. Salah satunya? Isu bau badan di set penggambaran!

Baru-baru ini, kecoh seketika apabila seorang aktres (yang namanya dirahsiakan) mengaku terpaksa ‘tahan nafas’ ketika berlakon dengan seorang aktor yang dikatakan mempunyai masalah bau badan. Luahan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk daripada pelakon senior, Faizal Hussein.

Iklan
Iklan

Santai namun penuh makna, Faizal tampil bersuara. Katanya, perkara seperti itu bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam dunia lakonan, apatah lagi apabila berada lama di set penggambaran.

“Saya dah lama berdepan benda macam ni. Tapi saya tak suka nak heboh. Kalau saya tak suka seseorang, orang tu takkan tahu pun. Hadap dan hadam saja. Mungkin sebab itu juga bayaran saya mahal,” ujar pelakon legenda itu sambil ketawa kecil.

Iklan

Faizal, atau nama sebenarnya Mohd Faizal Hussein, turut menegaskan bahawa isu bau badan bukanlah dosa besar yang perlu dihebahkan secara terbuka.

“Manusia tak sempurna. Jadi, sebagai orang dewasa, kalau ada benda yang tak kena, simpan sajalah untuk diri sendiri. Tak semua perkara perlu bagitahu satu dunia,” katanya dengan nada tenang.

Iklan

PUBLISITI MURAHAN

Memetik KOSMO, pemenang Pelakon Lelaki Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 2019 itu mengakui, budaya suka membesar-besarkan isu remeh hanya akan membuka ruang kepada publisiti murahan yang akhirnya memakan diri.

“Zaman sekarang, ramai yang pegang prinsip ‘good or bad publicity tetap publicity’. Tapi mereka tak fikir panjang. Kalau nak bertahan lama dalam industri, kena jaga imej. Jangan sampai penonton muak. Itu prinsip saya dari dulu,” jelasnya semasa ditemui di program Melodi Terhangat Superstar Tour, baru-baru ini.

Walaupun sudah puluhan tahun dalam industri, Faizal kekal relevan dan terus menjadi inspirasi. Terbaharu, beliau tersenarai dalam Top 10 kategori Selebriti Maskulin Terhangat untuk Anugerah Melodi Terhangat.

Antara nama lain yang turut bersaing termasuk Datuk Rosyam Nor, Datuk Adi Putra, Remy Ishak, MK K-Clique, Syafiq Kyle, Zamarul Hisham, Sharnaaz Ahmad, Redza Rosli dan Fattah Amin.

Tak kisahlah isu bau badan ke, atau tekanan kerja di lokasi, Faizal membuktikan satu perkara – profesionalisme dan prinsip yang kukuh itulah yang memastikan seseorang pelakon kekal bertahan dan dihormati.