'Umi minta jangan ditidurkan…’ 2 minggu dirawat, Amir Raja Lawak rupanya dijangkiti influenza B dan kuman di paru-paru, syukur dibenarkan pulang

Iklan

SELEPAS lebih dua minggu menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, pelawak Amir Raja Lawak akhirnya dibenarkan pulang ke rumah selepas disahkan positif influenza B dan mengalami jangkitan kuman di paru-paru.

Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi berkongsi berita gembira itu menerusi hantaran di Instagram sekali gus menarik nafas lega selepas melalui detik mencemaskan ketika berada di hospital.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, pelawak berkenaan memaklumkan dirinya masih belum pulih sepenuhnya dan perlu menjalani pemeriksaan susulan termasuk imbasan tomografi berkomputer, pemeriksaan kesihatan dan X-ray.

“Alhamdulillah, dah discharged, diizinkan balik rumah.

Iklan

“Terima kasih doktor, nurse, serta PPK yang jaga saya selama dua minggu lebih saya kat HRPZ II KB ini ye,” katanya.

Menceritakan detik awal dirinya jatuh sakit, Amir berkata, keadaan kesihatannya merosot secara tiba-tiba selepas mengalami demam berpanjangan sebelum diserang asma.

Iklan

Lebih membimbangkan, imbasan X-ray mendapati terdapat jangkitan kuman di paru-parunya sehingga dia hampir ditidurkan oleh doktor.

Namun, ibunya meminta supaya pihak perubatan mencuba rawatan lain terlebih dahulu sebelum mengambil langkah tersebut.

“Betul saya hampir ditidurkan sebenarnya, tapi Umi saya bagitahu doktor supaya jangan tidurkan dahulu, tolong bagi apa-apa ubat lain sebagai usaha supaya tidak tidurkan saya dahulu,” ujarnya.

Pernah positif Covid-19, Amir mengakui influenza B lebih menyakitkan. Malah Amir menyifatkan ujian kesihatan kali ini lebih mencabar, terutama apabila dirinya turut mengalami jangkitan kuman di paru-paru.

Menurutnya, pengalaman pernah dijangkiti Covid-19 membuatkan dia lebih berhati-hati kerana masih terdapat kesan jangkitan terdahulu yang dirasakannya mempengaruhi keadaan kesihatan ketika ini.

Amir turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kesihatan, terutama mereka yang pernah dijangkiti Covid-19.

Dalam hantaran sama, Amir mengakui kejadian yang menimpanya berlaku di luar jangkaan, malah dirinya sendiri terkejut apabila keadaan kesihatan merosot dalam tempoh singkat.

Dia berkata, pada awalnya dia masih cuba bertenang dan menguruskan beberapa perkara berkaitan kedai miliknya sebagai persediaan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Bagaimanapun, keadaan kesihatannya terus merosot.

“Last terus tak boleh nak buat apa, phone pun family pegang,” katanya.

Amir turut mengambil kejadian itu sebagai pengajaran, selain menyedari kemungkinan dirinya terlalu sibuk bekerja sehingga tidak mendapat rehat dan tidur yang mencukupi.

“Apapun mudah-mudahan dengan berkat sokongan, doa, daripada anda akan menguatkan lagi saya untuk kembali pulih, sembuh serta sihat seperti sediakala, aamiin insya-ALLAH” kongsinya.

Hantaran berkenaan mengundang perhatian warganet yang rata-ratanya menitipkan doa agar pelawak yang turut dikenali sebagai Amir Amireka itu pulih dan terus sembuh.

Sekadar info, Amir memulakan langkah dalam industri hiburan sebagai peserta solo pada tahun 2009 menerusi Raja Lawak Astro Musim Ketiga.

Pernah bertanding secara solo dan kumpulan di pentas Maharaja Lawak dan Maharaja Lawak Mega, Amir pernah membintangi beberapa buah filem termasuk Adnan Sempit 3, Hantu Bonceng 2.0 dan Geng Jin.