DIA cuma mahu jadi doktor yang membantu orang. Tapi akhirnya, dia sendiri hampir kehilangan hidupnya.
Kumpulan Hartal Doktor Kontrak berkongsi kisah menyayat hati seorang doktor pelatih di sebuah hospital di Tawau, Sabah yang mengalami tekanan mental melampau akibat dibuli secara berterusan di tempat kerja.
Individu yang dikenali sebagai Dr S dilaporkan menjadi mangsa buli oleh senior yang sama, berkali-kali tanpa pembelaan dan ruang untuk 'bernafas.
Lebih memilukan, tekanan itu bukan sahaja memadam impiannya dalam dunia perubatan, malah hampir meragut nyawanya sendiri.
Layanan yang diterima begitu teruk sehingga beliau mengalami kemurungan mendalam dan mengasingkan diri di dalam bilik selama bertahun-tahun, sekali gus tidak mampu kembali bekerja dalam bidang perubatan.
Difahamkan, si pembuli pula terus lepas bebas, malah sedang melanjutkan pengajian dalam bidang kepakaran.
Menurut hantaran kumpulan itu di Facebook, layanan yang diterima terlalu kejam hingga Dr S mengalami kemurungan. Tinggal di dalam sebuah bilik kecil yang tidak terurus menggambarkan keadaannya yang parah.
"Salah seorang mangsa buli ialah Dr S, seperti di dalam video yang kami kongsikan pada hantaran ini. Beliau teruk dibuli oleh seorang si durjana di Hospital Tawau semasa beliau dalam latihan housemanship.
"Teruk sungguh beliau dibuli sehingga depresi teruk dan tidak lagi bekerja sebagai seorang houseman sebaliknya hanya berkurung dalam bilik untuk bertahun-tahun. Si pembuli pula? Sudah berhijrah ke luar negara dan dalam program kepakaran di sana.
Hartal Doktor Kontrak, yang melancarkan kempen #StopWorkplaceBullying tiga tahun lalu, menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengambil tindakan lebih serius bagi membantu mangsa buli seperti Dr S.
"Ada yang dibuli sehingga depresi teruk dan ada yang sampai hampir membunuh diri.
"Sebuah Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) ditubuhkan untuk menyiasat dan memberi rekomendasi tentang masalah buli dan cara menangani di KKM.
"Pihak Hartal turut dijemput untuk memberi beberapa pendapat dan pandangan kepada pasukan tersebut.
“Kami telah menyaksikan secara langsung kesan dahsyat buli di tempat kerja dalam sektor kesihatan awam.
"Oleh itu, kami menyokong sepenuhnya inisiatif Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang akan melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Klinik dan Hospital Kerajaan pada Oktober ini.
“Kami berharap buli dapat dihapuskan bukan sahaja dalam kementerian, malah di seluruh sektor di negara ini,” tambah mereka.
Selain itu, Hartal Doktor Kontrak turut memohon maaf kepada Dr S, keluarganya dan mangsa-mangsa buli lain yang tidak mendapat sokongan sewajarnya sebelum ini.
Berapa ramai lagi perlu jatuh, sebelum sistem belajar untuk peduli? Warga maya tersentuh dengan meluahkan simpati melihat seseorang yang memiliki ilmu perubatan dipersia-siakan gara-gara pembulian.
"Otak bijak letak kat mana? Bukan pasal otak bijak milik org yang dipijak. Otak bijak org yang memijak tu, dah ke mana?"
"Saya melihat sendiri seorang doktor menampar tangan housemanship dan keluarkan kata-kata yang memalukan dia depan pesakit. Sepatutnya mendidik bukan mengherdik."
"Hentikan pembulian segera. Sangat kasihan kepada doktor yang dibuli, mereka sepatutnya berkhidmat kepada masyarakat. Bertindak segera KKM."
"Hentikan rantaian ini. Bagaimana KPM banteras budaya buli dalam kalangan budak sekolah, begitulah ia sepatutnya diteruskan dalam ruang lingkup kerjaya. Ia akan berterusan jika tidak ditangani awal."
"Baru faham kenapa KKM buat dilarang guna kata kesat kepada kakitangan. Actually bukan untuk pelanggan tetapi dalaman. Darkside of the medical life."