VIDEO rakaman kamera papan pemuka kemalangan melibatkan sebuah bas di Universiti Putra Malaysia semalam tular di media sosial dan terus menjadi perhatian warganet.
Dalam perkembangan terkini, kemalangan bas dinaiki lima guru dan 30 kanak-kanak itu itu disahkan berpunca daripada pemandu bas yang kekurangan rehat.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan mendapati pemandu bas berkenaan mengaku tidak cukup rehat, mengakibatkan dia terlelap ketika kejadian.
Lelaki berkenaan terdahulu direman selama dua hari untuk siasatan lanjut dan disahkan tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
"Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca akibat pemandu tidak cukup tidur dan rehat," katanya dalam kenyataan.
Berikut adalah kronologi kes yang membabitkan 30 murid dan lima guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Ampang itu:
1-Pada jam 12.18 tengah hari Sabtu, bas berkenaan sedang dalam perjalanan dari sebuah kilang coklat menuju G2G Animal Garden di MAEPS Serdang sebelum dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok di lokasi kejadian.
2-Pemandu berkenaan dipercayai terlelap sebelum kenderaan itu terbabit dalam kemalangan di Jalan Persiaran Universiti 1.
3-Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 12.18 tengah hari semalam.
4-Siasatan awal mendapati bas berkenaan berada di laluan lurus dan kemudian hilang kawalan sebelum kenderaan itu terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar pokok.
5-Video rakaman memaparkan kemalangan bas dinaiki lima guru dan 30 kanak-kanak itu tular di laman sosial.
6-Muhamad Farid berkata, tiga kanak-kanak dan guru pengiring yang mengalami kecederaan kepala menerima rawatan pesakit luar di Hospital Serdang.
7-Keempat-empat mangsa terus dibawa ke Hospital Serdang untuk diberikan rawatan. Difahamkan, kesemua mereka telah dibenarkan keluar dari hospital.
8-Pemandu bas berkenaan ditahan dan permohonan reman akan dibuat esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
9-Orang ramai terdahulu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-80742222 atau balai polis berhampiran untuk menyalurkan sebarang maklumat.
Menurutnya, semakan juga mendapati individu terbabit mempunyai 13 saman lampau atas nama sendiri.
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian