'Tak semua tekak sama' – NIMS tak sentap kena kritik dengan James Charles, siap rancang kolaborasi

Iklan

BAYANGKAN produk tempatan yang tengah viral diuji oleh YouTuber dan jurusolek sensasi dunia, James Charles dan beliau hanya beri markah 3 daripada 10.

Ramai yang menjangka pengasas produk itu akan terasa hati, ‘sentap’ atau paling tidak pun membalas balik secara sinis.

Iklan
Iklan

Namun, lain pula reaksi yang ditunjukkan oleh pengasas NIMS Crispy Choco Tub, Tengku Norhanim Tengku Othman atau lebih dikenali sebagai Hanim.

Iklan

Bukan saja tak melenting, malah beliau membalas ulasan pedas itu dengan penuh tenang dan profesional.

Menurut Hanim, dirinya tak kisah langsung dengan komen yang diberikan kerana setiap orang ada cita rasa berbeza.

Iklan

“Tak semua tekak sama. Biasalah kalau ada yang tak suka. Tapi ramai rakyat Malaysia bagi rating 10/10 untuk NIMS.

"Kita sudah tembus pasaran 18 negara, termasuk Amerika Syarikat,” katanya bersahaja.

Bahkan, beliau percaya dengan konsep"bad marketing, big impact" dan langsung tak ambil hati dengan kritikan tersebut. Sebaliknya, dirinya melihat ia sebagai satu bentuk publisiti global yang percuma.

Lebih menarik, Hanim siap berhasrat nak hantar satu set kombo khas untuk James Charles dan terbuka untuk ajakan kolaborasi.

Katanya, kalau James terkenal dengan identiti ‘fruity’, NIMS pula memang sinonim dengan gaya berwarna-warni dan ceria. Malah, wanita itu terbuka jika James nak tentukan sendiri kombinasi rasa dan rekaan pembungkusan untuk satu edisi khas.

“Mana tahu boleh wujud kolaborasi NIMS X James Charles,” ujarnya dengan penuh semangat.

MAKAN HATI

Dalam masa yang sama, Hanim menegaskan pihaknya langsung tidak terasa hati dan sangat menghargai masa serta perhatian yang diberikan oleh pempengaruh antarabangsa itu.

“Bukan mudah nak minta selebriti terkenal cuba produk kita. Jadi, dari lubuk hati yang paling dalam… kami amat berterima kasih dan rasa besar hati dengan publisiti percuma yang James beri.

"Tambahan pula, kita tahu dia sangat energetik, penuh jenaka dan paling penting jujur dalam memberikan komen. Walaupun boleh makan hati dengan kejujuran itu, tapi ia langsung tidak patahkan semangat kami,” jelasnya.

Untuk makluman, James Charles memuat naik video bertajuk “Mencuba Makanan Snek Viral dari Kedai TikTok” pada 2 Ogos lalu di saluran YouTube miliknya. Video itu kini telah ditonton lebih 700,000 kali dan menerima lebih 22,000 tanda suka.

Dalam video tersebut, James mencuba pelbagai snek viral termasuk NIMS Crispy Choco Tub.

Pada mulanya, beliau teruja kerana tekstur bijirin kekal rangup walaupun dilimpahi coklat, namun katanya kualiti coklat kurang 'kick' dan selepas beberapa suapan, rasa snek itu jadi pelik.

“Saya takkan mengesyorkan produk ini kepada orang lain. Jadi saya beri markah tiga daripada sepuluh,” katanya secara jujur.

Menariknya, dalam video yang sama, ada beberapa produk lain yang mendapat markah lebih rendah berbanding NIMS. Ada yang hanya dapat satu atau dua markah sahaja.

Namun, berbanding sesetengah pihak yang mungkin akan kecewa atau menjawab secara emosional, Hanim sebaliknya tenang dan terus pandang ke depan.

MENEMBUSI RADAR ANTARABANGSA 

Perlu diingat, jenama NIMS bukan calang-calang. Produk ini pernah memenangi pelbagai pengiktirafan termasuk Nona Best Crispy Choco Tub Award 2022, The BrandLaureate Best Brand, Top 500 Trusty Brand Award, AWEN Award, IKSNITA Award, Bumiputera Business Excellence Award (BBEA) dan The 100 Top Young CEO.

Bukan itu sahaja, produk NIMS juga dihasilkan di kilang bertaraf Halal dan mendapat pengiktirafan ISO 22000, menjadikannya layak bersaing di peringkat global.

Bagi ramai rakyat Malaysia, kisah ini bukan sekadar tentang komen pedas atau markah rendah. Ia lebih besar daripada itu, produk tempatan telah berjaya menembusi radar antarabangsa, dan itu sendiri sudah cukup membanggakan.

Kritikan bukan satu titik noktah, malah boleh jadi pembuka jalan untuk sesuatu yang lebih besar.

Dalam dunia hari ini, kadangkala publisiti yang nampak 'negatif' itu sebenarnya boleh berubah menjadi peluang yang luar biasa.