Anak bertarung nyawa tempurung kepala retak, ibu dakwa ditolak rakan. 'Doakan Aisyah Sofia'

Iklan

LULUH hati seorang ibu memohon orang ramai agar menitipkan doa buat anak perempuannya yang kini sedang bertarung nyawa, dipercayai akibat ditolak oleh rakan sendiri.

Menerusi satu hantaran penuh emosi di Facebook, Zalinda Lin meluahkan rasa sedih dan bimbangnya apabila anaknya, Aisyah Sofia Rohaizan, mengalami kecederaan serius yang melibatkan retakan pada tempurung kepala serta pendarahan dalam otak.

Iklan
Iklan

“Dengan penuh rasa rendah hati dan jiwa yang merintih, saya merayu kepada semua kenalan, sahabat dan ahli keluarga untuk sama-sama mendoakan keselamatan dan kesembuhan anak saya, Aisyah Sofia Binti Rohaizan. 

"Dia kini sedang bertarung nyawa selepas ditolak sehingga terjatuh, mengakibatkantempurungnya retak, berlaku pendarahan dalaman dan kini tidak sedarkan diri,” tulisnya.

Iklan

Zalinda turut meluahkan rasa terkilan yang sukar diungkap apabila mengenangkan bagaimana kejadian itu boleh berlaku.

Walaupun dihimpit kesedihan dan keresahan, wanita itu tetap cuba untuk menerima takdir dengan hati yang terbuka.

Iklan

“Semoga ALLAH SWT mengurniakan kesembuhan yang sempurna, memudahkan segala urusan rawatan, melindunginya dari sebarang komplikasi, serta mengembalikan senyuman dan keceriaannya seperti sediakala. 

"Semoga ada diantara kalian ALLAH angkat doanya. Amin...,” tambahnya dalam nada pasrah.

Dalam hantaran yang sama, ibu itu berkongsi sekeping gambar Aisyah Sofia tersenyum ceria sekali gus menambah rasa pilu kepada sesiapa sahaja yang membacanya.

Hantaran berkenaan tular hingga menerima 17,000 reaksi dan 16,000 perkongsian daripada warganet. Rata-rata  menyatakan simpati buat Aisyah Sofia mendoakan kesembuhan si kecil itu.

Sementara itu, solat hajat dan bacaan Yasin telah diadakan memohon agar si kecil yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pulih.

Foto: Ihsan Jabatan Pendidikan Negeri Johor

"Jabatan Pendidikan Negeri Johor mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan Aisyah Sofea Rohaizan.

"Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad dan warga Jabatan Pendidikan Negeri Johor mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat ke atas adik Aisyah Sofea dari Sekolah Kebangsaan Felda Tenggaroh 4, Mersing awal pagi tadi.

"Turur hadir bersama Pegawai Pendidikan Daerah Mersing, Saiful Atan," kongsinya di Facebook.

Foto: Ihsan Jabatan Pendidikan Negeri Johor

Terdahulu, Mohd Hanafi, pegawai pendidikan, guru besar, pentadbir dan guru-guru difahamkan telah mengadakan lawatan ke hospital bagi menziarahi keluarga kepada murid berkenaan bagi memberi sokongan moral kepada dan menzahirkan keprihatinan.

SinarPlus cuba menghubungi Zalinda namun tidak berjaya. Semoga anakanda Aisyah Sofia pulih segera.