Disuntik jarum, anak Rafizi perlu dipantau dan ulangi ujian darah. 'Ia berkait tugas ahli Parlimen, isteri turut terima mesej ugutan'

Iklan

INSIDEN serangan ke atas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengejutkan ramai. Masakan tidak, jarang-jarang berlaku di Malaysia keluarga ahli politik diserang secara fizikal dengan kekerasan.

Dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini, Rafizi yang enggan mendedahkan info terperinci kerana bimbang mengganggu siasatan yang sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia hanya berkongsi keadaan terkini putera tunggalnya.

Iklan
Iklan

"Pertama, Alhamdulillah isteri dan anak berada dalam keadaan baik dan keputusan kami ialah life has to go on seperti biasa. Jadi mana yang sekolah, kena lah pergi.

"Isteri saya kena jaga kucing dan saya akan teruskan rutin harian," kongsinya.

Iklan

Mengulas mengenai keadaan terkini, Rafizi memberitahu, anak lelakinya akan terus mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah UPM (HSAAS) kerana sudah terbiasa dengan rawatan di pusat perubatan berkenaan.

Iklan

"Keadaan anak saya selepas kejadian memang digegaskan ke HSAAAS. Pemeriksaan awal iaitu ujian darah kemudian pemerhatian.

"Ada tiga kemungkinan. Ini pandangan saya, ini bukan medical opinion.

"Pandangan saya ada tiga kemungkinan. Pertama yang disuntik itu sama ada dadah ataupun racun. Kedua yang disuntik itu berbentuk virus misalnya hepatitis, HIV dan yang lain-lain dan yang ketiga air. 

"Jadi ia perlu melalui proses ini untuk berapa-berapa bulan. Untuk tempoh 24 jam yang pertama, daripada ujian darah ia bukan dadah atau racun. Yang penting kini ialah pemerhatian. Sekarang pemerhatian itu nampak ok, maksudnya tidak ada nampak kesan-kesan segera.

"Pada pandangan sebagai seorang bapa, kita boleh keluarkan kemungkinan dadah ataupun racun. 

Foto: Bernama

"Untuk menolak kemungkinan terdapat sebarang virus yang disuntik, ia hanya akan tahu dalam tempoh enam bulan akan datang. Oleh itu, kami perlu sentiasa memantau tingkah laku dan keadaannya serta aspek-aspek lain yang berkaitan.

"Dari sudut itu, saya melihat anak saya sedang pulih dengan baik dan juga dalam keadaan bersemangat dan positif. Namun begitu, kami tetap perlu terus menilai dan memantau keadaannya," ujar Rafizi. 

Dalam masa yang sama, ahli politik berusia 45 tahun itu turut mendedahkan isterinya menerima teks berbaur ugutan dan meluahkan kejadian yang berlaku berkait rapat dengan tugas sebagai ahli politik dan ahli Parlimen.

Kongsi Rafizi, isterinya menerima siri mesej yang mengugut untuk menyuntik virus berbahaya sekiranya beliau meneruskan apa yang dilakukan kini.

"Mesej pertama 1.12 pagi semalam, kedua 11.02 pagi tadi dihantar melalui WhatsApp daripada nombor yang sama.

"Saya ingat perkara ini akan berterusan sebagai strateginya kerana saya selalunya tidak makan saman.

"Disaman pun pernah, ditahan di lokap dan hilang jawatan.  Apapun saya tak ambil pot.  Jadi saya ingat, mereka yang terbabit ini merasakan mungkin lebih mudah jika isteri saya mempengaruhi keputusan saya.

"Maksudnya, jika tekanan diberikan kepada anak kami, itu boleh mempengaruhi isteri dan seterusnya mempengaruhi keputusan saya.

"Itu perkara yang biasa berlaku. Dari segi psikologi, memang lumrah apabila isteri sudah tidak tahan, dia akan meluahkan kepada suaminya.

"Jadi, saya telah pun memaklumkan perkara ini kepada pihak polis dan mereka sudah mengetahui nombor telefon yang terlibat.

Terdahulu, SinarPlus berkongsi insiden anak lelakinya yang berusia 12 tahun itu dipercayai diserang dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar ketika memasuki kereta untuk meninggalkan pusat membeli belah di Putrajaya.

Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari, menerusi rakaman  kamera litar tertutup (CCTV), anaknya diheret dan disuntik dengan jarum suntikan.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan bahawa semua siasatan berhubung insiden akan dijalankan secara adil dan berlandaskan undang-undang, tanpa dipengaruhi status atau latar belakang mana-mana pihak.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar insiden serangan  berkenaan dan mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga pihak berkuasa mengeluarkan maklumat rasmi.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata siasatan kes berkenaan dilakukan di bawah Seksyen 352 dan 324 Kanun Keseksaan kerana menyerang dan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya, serta Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak.