PENDAKWAH terkenal, Ustaz Azhar Idrus, tampil mengulas mengenai gerakan solidariti ‘Justice For Zara’ susulan kematian remaja perempuan, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menjawab persoalan yang diajukan orang ramai, Ustaz Azhar mengingatkan umat Islam seharusnya menunjukkan keprihatinan dengan membantu dan mendoakan saudara seagama sedang menghadapi kesulitan, di samping mendoakan kesejahteraan.
"Soalan: Tolong komen Justice for Zara.
"Jawapan: Siapa sahaja umat Islam yang kesusahan, teraniaya, dizalimi atau ditimpa musibah, kita kena ambil tahu.
"Sekurang-kurangnya kita doakan untuk mereka. Kalau mereka perlukan pertolongan, kita berikan pertolongan walaupun daripada jauh.
"Kalau mereka perlukan harta, kita beri. Sebab tanda orang Islam itu benar, ambil cakna apa yang berlaku di umat Islam yang baik," tuturnya menerusi sebuah video tular.
Mengulas lanjut, Ustaz Azhar menekankan bahawa setiap umat Islam harus peka terhadap isu-isu semasa, khususnya yang melibatkan kepentingan masyarakat.
"Berdasarkan hadis,"Sesiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang Islam, maka dia bukan daripada kalangan mereka," kongsinya.
Gelombang solidariti 'Justice for Zara Qairina' tidak hanya di Malaysia, malah kini telah tersebar di seluruh dunia.
Kisah tragis menimpa gadis asal Sipitang, Sabah itu kini menjadi bualan ramai termasuk rakyat Brunei, Thailand, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, China, Jepun, Kemboja, Myanmar, Laos, malah United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Zara Qairina yang merupakan pelajar Tingkatan Satu dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah agama pada 16 Julai lalu.
Remaja itu ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Sumber: TikTok