KES kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir dikaitkan dengan unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual.
Perkara yang didedahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu hasil daripada siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang difahamkan telah dikenal pasti dan telah disiasat secara menyeluruh.
“Tak boleh ada usaha ataupun percubaan menutup kalau ada elemen buli. Sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak-anak kita.
“Para pentadbir sekolah harus diingatkan, kalau ada insiden ini bawa ke tengah. Sebab itu siasatan kita menjurus hala tujunya kepada elemen buli. Ya, yang sudah pun kita lengkapkan siasatan itu.
“Ya, ada elemen pengabaian kerana adik ini ada membuat aduan kepada pihak sekolah. Ada kita siasat elemen pengabaian. Ada elemen gangguan seksual, kita siasat juga. Demikian terpulang kepada Peguam Negara untuk menetapkan hala tuju sama ada tuduhan itu dapat dibuat atau tidak," katanya dipetik dari Sinar Harian di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Dalam pada itu Saifuddin memaklumkan PDRM telah menyerahkan kertas siasatan kes kematian arwah kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada pagi Isnin dan siasatan telah pun selesai.
Saifuddin juga menegaskan, tiada sebarang penutupan kes atau 'cover up' oleh mana-mana pihak berkuasa bermula daripada proses bedah siasat sehingga siasatan lanjutan membabitkan kematian pelajar itu.
Ujarnya, segala tindakan yang diambil adalah berdasarkan kepada fakta, laporan dan permohonan yang sah.
"Polis telah dan akan terus melengkapkan siasatan, sudah pun lengkap pagi tadi serta diserahkan kepada Peguam Negara. Bagaimanapun, dalam kes ini, terutama apabila ia menarik perhatian umum, (mungkin) akan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan mengikut kepentingan masing-masing.
"Siasatan kini diperluaskan merangkumi mereka yang didapati cuba memanipulasi isu ini untuk mengganggu-gugat ketenteraman awam," katanya.
Difahamkan, siasatan terhadap kes kematian pelajar di Papar, Sabah itu kini diperluaskan termasuk terhadap individu yang memanipulasi isu tersebut yang melibatkan 21 kertas siasatan.
Antaranya, siasatan terhadap seorang guru sekolah yang membuat siaran langsung di TikTok mendakwa pelajar itu dimasukkan ke dalam mesin basuh.
“Kita buka 21 kertas semuanya termasuk penyebaran berita palsu di media sosial, penipuan yang mendorong kepada himpunan-himpunan jalanan.
“Saya faham rakyat turun ini menghantar satu isyarat kepada kerajaan. Segera bertindak kalau ada elemen pelaku (kesalahan), bawa ke muka pengadilan dan itulah yang akan kita laksanakan,” katanya.
Terdahulu, banyak himpunan gelombang solidariti diadakan di seluruh negara bagi menuntut keadilan atas kematian remaja itu.
Inkues bermula 3 hingga 30 September ini
Sementara itu, inkues Zara akan bermula pada 3 September dan 195 saksi akan dipanggil. Mahkamah menetapkan tarikh prosiding pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.
Mahkamah Koroner hari ini menetapkan bulan depan untuk prosiding inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Prosiding itu akan menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang terbabit dalam kematiannya.
Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz yang bertindak sebagai Koroner, menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes berkenaan hari ini menetapkan tarikh prosiding iaitu pada 3 dan 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19 serta 22 hingga 30 September.
Timbalan Pendakwa Raya yang juga merupakan Pengendali Kes, Mohd Fairus Johari turut memberitahu 195 saksi telah direkod kenyataan sementara jumlah deponen (saksi)’ akan disenaraikan sebelum prosiding bermula.
Sementara itu, dalam sidang akhbar pasukan peguam yang diketuai Hamid Ismail memaklumkan, seramai 195 saksi tersebut jumlahnya akan ditentukan kemudian.
"Jumlah itu akan ditentukan kemudian bagi memberi peluang kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) menyusun saksi-saksi ini, mana yang relevan, mana yang tidak relevan," katanya.
Ditanya mengenai saksi, Hamid memaklumkan anak guamnya juga antara saksi yang akan dipanggil selain guru dan pelajar di sekolah berkenaan.
"Hanya kami yang datang mewakili ahli keluarga dan kami mewakili ibu. Ibunya akan datang sebagai saksi yang akan dipanggil, sementara kami akan menyoal.
"Kami tidak tahu (siapa saksi) tapi semua yang dipanggil oleh polis, daripada guru sehingga pelajar. Saya tidak tahu (jumlah saksi yang dikurangkan), itu bidang kuasa AGC.
Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya kini sebagai pemerhati namun dalam masa sama akan turut memohon untuk menjadi pihak yang menyoal untuk membantu pihak pendakwaan.
"Kami telah memohon untuk menjadi pihak yang menyoal untuk membantu pendakwaan tetapi kami diarahkan untuk memfailkan permohonan secara rasmi yang mana kami akan failkan pada minggu ini.
"Sabah Law Society (SLS) bertindak sebagai pihak pemerhati dan buat masa ini status kami adalah sebagai pihak pemerhati tetapi apabila permohonan diluluskan, status kami akan berubah kepada pihak yang berkepentingan," jelasnya.
Sebelum itu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairus Johari, Dana Arabi Wazani, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus.
Pasukan peguam juga turut diwakili Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Sumber: Sinar Harian 1, 2, 3