ISTERI Along Cham, Afreena Suhaimi, 33, hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang hari ini bagi prosiding pengesahan lafaz cerai secara taklik.
Difahamkan, hari ini giliran Afreena menjawab dakwaan suaminya sebelum hakim syarie, Muhamad Nazri Basrawi, membuat sebarang keputusan.
“Jadi Yang Arif, saya minta tolong sangat, selesaikan perkara ini,” katanya.
Tegas Afreena, kes melihatkan mereka sudah terlalu lama berlanjutan dan dia amat berharap kes tersebut boleh selesai tanpa ditangguhkan ke tempoh masa lain.
MENGGANGGU REPUTASI
Ditanya adakah kes rumah tangga mengganggu reputasinya, Afreena tidak menafikan terkesan pada awalnya, namun pada akhirnya merasakan dia masih mampu meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Bagi saya, ia tidaklah menjejaskan sangat reputasi. Cuma, kes ini berlarutan terlalu lama dan mengganggu masa kerana perlu berulang-alik ke mahkamah,” katanya.
Terdahulu, suaminya, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, memfailkan pengesahan lafaz taklik terhadap Afreena selepas mendakwa isterinya melanggar tiga perkara yang dipersetujui tahun lalu, termasuk tidak patuh arahan dan membelakangkan suami.
Pasangan itu bernikah pada 4 April 2024, yang juga merupakan perkahwinan kedua Along selepas berpisah dengan penyanyi Zila Saeron pada September 2016.
Hasil perkahwinan terdahulu, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini berada di bawah jagaannya.