Restoran tawar ganjaran RM30,000 kepada pemberi maklumat kes Zara Qairina - 'Jika tiada perasaan kasih, di mana Islam kita?'

Iklan

'JIKA tiada perasaan kasih, di mana Islam kita?

Itulah persoalan yang menggamit hati penasihat perniagaan Restoran Tok Keramat, Sobri Zakaria, 57, apabila tular kisah menyayat hati melibatkan adik Zara Qairina, remaja perempuan yang meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa buli.

Iklan
Iklan

Dalam usaha membantu siasatan dan mencari keadilan buat mangsa kecil itu, restoran tersebut tampil menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM30,000 kepada mana-mana individu yang dapat menyalurkan maklumat sahih berhubung kes tersebut.

Tindakan berkenaan bukan sahaja mencerminkan nilai keprihatinan masyarakat, malah mengangkat kembali semangat ukhuwah dan tanggungjawab sosial.

Iklan

Penasihat restoran tempatan di Jitra, Kedah tampil itu berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu kerana berasakan tanggungjawab moral terhadap nasib yang menimpa remaja berkenaan.

Iklan

"Kalau ada maklumat call. Mereka hubungi polis pun boleh. Apa cerita sekalipun, saya nak maklumat dengan sebab maklumat dia itulah tertangkapnya si pembuli dan dijatuhkan hukuman. Itu saja, tidak ada niat lain.

"Saya terpanggil, saya ni sejak dari kecil akan kasih dan sayang budak-budak. Kerana kalau kita amati hadis Rasulullah SAW. 'Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah daripada golongan kami barang siapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang dewasa.” (Riwayat Imam Tirmizi: 1919).

"Pihak kuasa kita ni adalah yang terbaik di dunia. Jadi, saya terpanggil. Saya katakan kepada diri saya: ' Aku ni duduk tunggu dan tunggu. Kita ni, kalau kita tak ada perasaan kasih macam tu, di mana Islam kita?"

"Di mana kita? Apabila mati, kita nak Rasulullah SAW beri syafaat. Saya terpanggil dan bukan mereka-reka. Saya buat begitu kerana terlintas dalam hati. Apabila makan, teringat hal itu (kes Zara Qairina)," kata Sobri dalam sebak.

Dalam perkembangan terkini, seramai lima remaja perempuan berusia bawah 18 tahun akan didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu ini atas pertuduhan membuli pelajar Tingkatan Satu itu.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, pendakwaan terhadap kesemua remaja terbabit akan dibuat mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan (Pindaan 2025).

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut peruntukan tersebut, sesiapa sahaja yang dengan apa-apa cara menggunakan perkataan atau komunikasi berunsur ancaman, kesat atau menghina sehingga menyebabkan seseorang merasa diganggu, tertekan, takut atau bimbang, boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Sumber: Instagram, Sinar Harian