Nyaris pitam! KJ dedah cabaran menyelam & siaran langsung dari dasar laut

Iklan

PENYAMPAI radio dan figura versatil, Khairy Jamaluddin mengakui pengalaman bersiaran langsung dari dasar laut bersama rakan penyampai Hot FM antara momen paling mencabar sepanjang bergelar penyiar.

Mesra dengan panggilan KJ , beliau mendedahkan, pada hari pertama sesi ujian selaman, dirinya hampir pitam akibat topeng menyelam yang dipakai terlalu ketat sehingga memberi tekanan luar biasa pada wajah dan dahi.

Iklan
Iklan

“Topeng itu semua saiz sama, tetapi ada satu yang memang ketat sangat. Masa turun buat test dive, saya rasa nak pitam. 

"Nasib baik bertahan, cuma selepas itu saya memang risau kalau perkara sama berulang,” katanya ketika ditemui pada Khamis.

Iklan

Menurut figura berusia 49 tahun itu, keresahan semakin memuncak apabila menjelang hari siaran sebenar, beliau bimbang tidak mampu menahan tekanan. Namun sebaik sahaja menyarung topeng yang lain, rasa lega mula hadir.

“Alhamdulillah, pada hari kedua topeng yang dipakai lebih selesa, cuma AG pula hadapi masalah. Mungkin topeng itu yang sama saya guna pada hari pertama,” jelasnya.

Iklan

Cabaran Oksigen & Komunikasi

Selain berdepan tekanan fizikal, KJ menjelaskan cabaran lain ialah kawalan oksigen kerana setiap kali bercakap sambil menyelam, penggunaan oksigen bertambah pantas.

“Kami sentiasa periksa meter oksigen. Dive master beritahu, bila bercakap sambil bernafas, oksigen cepat habis. Itu yang buat kami risau sebab kru mahu lapan set bual bicara dirakam hari itu,” ujarnya.

Situasi bertambah mencabar apabila alat komunikasi bawah air tidak jelas, memaksa mereka bergantung pada susunan giliran bercakap dan isyarat tangan.

“Kami terpaksa guna konsep push-to-talk, seorang bercakap seorang lagi tunggu. Suara tak jelas, tapi kami dah faham perangai masing-masing. 

"Chemistry itu yang bantu kami teruskan rakaman walaupun tengah berenang,” jelasnya.

Rakaman keseluruhan mengambil masa lebih setengah jam, namun selepas suntingan dan penyusunan, ia menjadi sebuah program berdurasi dua jam.

Tambah KJ, selain teknikal, faktor cuaca juga menjadi kebimbangan besar kerana arus kuat atau ribut boleh menggagalkan rancangan.

“Walaupun nampak mudah, hakikatnya menyelam sambil bercakap, mengingat skrip, berenang dan memastikan oksigen cukup bukanlah perkara kecil. Semua itu risiko yang kami kena ambil kira,” katanya.

Beliau turut menjelaskan mereka menjalani latihan intensif termasuk di kolam renang dan Pulau Bidong untuk mendapatkan lesen skuba, sebelum mencuba dengan alat komunikasi sebenar.

Destinasi ekstrem seterusnya

Selepas menawan puncak Gunung Kinabalu dan dasar laut, KJ mengisyaratkan rancangan seterusnya mungkin lebih ekstrem siaran bual bicara dari udara.

“Kami tengah bincang dengan rakan strategik. Sama ada terjun dari kapal terbang atau helikopter, itu yang akan ditentukan. Cuma saya kena pujuk dulu AG, Farah dan Johan sebab risikonya 10 kali ganda,” katanya berseloroh.

Walaupun ekstrem, KJ melihat usaha Hot FM ini memberi inspirasi kepada pendengar untuk mencuba perkara baharu.

“Ramai yang mesej kata mereka teruja nak mendaki Gunung Kinabalu atau ambil lesen skuba selepas tengok apa yang kami buat. Jadi, ia bukan sekadar konten hiburan, tetapi turut beri motivasi kepada orang lain,” ujarnya.

Pada 15 Ogos lalu, penyampai stesen radio Hot FM kembali melakar kejayaan apabila menakluk laut terbuka dengan bersiaran secara langsung di kedalaman 10 meter bawah paras laut di Pulau Bidong, Terengganu.

Bekfes Hot Skuba yang disertai penyampai pagi iaitu KJ, Johan, AG dan Fara Fauzana menerima ASEAN Records sebagai Siaran Radio Secara Langsung Yang Pertama Dan Terdalam Disertai Penyampai Di Laut Terbuka.

Sebelum ini Hot FM menerima pengiktirafan Malaysian Book Of Records di bawah kategori melakukan Siaran Radio Terpanjang dan Tanpa Henti di Gunung Kinabalu.

Stesen terbabit melakar sejarah apabila bersiaran selama 24 jam tanpa henti sepanjang ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu melalui kempen Bekpes Hot Tawan Puncak Kinabalu pada November 2025.