Sophia Albarakbah bangkit lawan, enggan normalisasi gangguan siber

Iklan

SEJAK dua minggu lalu, isu buli kembali menjadi perbualan hangat selepas kes seorang pelajar bernama Zara Qairina meninggal dunia setelah dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolahnya, dipercayai menjadi mangsa buli di sekolah.

Kes tragis itu secara tidak langsung membuka mata masyarakat mengenai gejala buli yang seakan tidak pernah berkesudahan. Ia bukan sekadar isu sekolah, malah mencerminkan luka sosial yang masih berdarah dalam kehidupan kita hari ini.

Iklan
Iklan

Namun tanpa sedar, buli sebenarnya bukan hanya melibatkan sentuhan fizikal atau kata-kata kasar. Dalam kecanggihan teknologi masa kini, buli juga boleh berlaku menerusi media sosial, lebih halus tetapi meninggalkan parut emosi yang dalam.

Begitulah yang dirasai oleh aktres jelita, Sophia Albarakbah yang memilih untuk bangkit daripada terus menjadi mangsa buli oleh mereka yang kurang empati dan tanggungjawab.

Iklan

Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur itu, dia memilih untuk berdiri bukan hanya demi dirinya tetapi bagi membuka mata semua bahawa buli siber dan gangguan seksual tidak sepatutnya menjadi perkara yang dinormalisasi.

“Bila saya buat laporan, ada yang kata saya mengada-ngada, ada juga yang persoalkan kenapa nak bawa hal ini ke pihak berkuasa tetapi bagi saya, langkah ini penting. Kalau kita diam, ia akan berterusan,” ujarnya tegas.

Iklan

Sophia kembali menjadi mangsa buli netizen selepas memenangi anugerah baru-baru ini.

Sophia mengakui pengalaman menjadi mangsa buli siber meninggalkan kesan psikologi yang mendalam. Bukan sahaja maruah dan harga diri tercalar, malah ia turut mengganggu tumpuan terhadap kerjaya seni yang sedang berkembang.

“Orang nampak saya senyum, nampak saya okey tapi dalam hati, saya berperang dengan rasa takut dan trauma. Benda seperti ini tidak patut kita anggap normal,” katanya.

Pelakon filem Harimau Malaya: The Untold Journey itu juga berharap keberaniannya melangkah ke balai polis menjadi pemangkin kepada orang lain yang pernah melalui situasi sama untuk tampil bersuara. 

Baginya, menghentikan budaya diam ialah kunci bagi menamatkan rantaian buli, sama ada di alam nyata mahupun di dunia maya.

"Saya mahu semua pihak bekerjasama mengatakan tidak kepada semua bentuk buli, termasuk gangguan seksual,” tegasnya.

Ruang selamat

Di sebalik semua itu, wanita berusia 32 tahun itu tetap mencari pelarian kecil untuk menyembuhkan diri. Bersama keluarga yang sentiasa ada dan kucing-kucing yang seakan mengerti, dia mengutip semula cebisan tenang yang hilang.

“Saya takut untuk membuka mesej, sampai minta peguam yang baca. Mereka yang bukan mangsa pun terkesan bila membaca, apatah lagi saya yang mengalaminya.

Memilih untuk berada dalam ruang selamat, cara Sophia untuk bangkit semula.

"Cuma saya tetap keluar bekerja, bertemu orang. Bila ada masa lapang, saya rasa selamat bersama orang yang dipercayai. Kucing-kucing seperti faham perasaan saya, bila sedih mereka akan datang dekat. Mereka ada cara tersendiri untuk membuatkan saya rasa lebih baik,” ujarnya.

Walaupun berdepan ujian peribadi, perjalanan seninya tetap diteruskan. Menjelang penghujung tahun 2025, Sophia bakal menyaksikan dua naskhah lakonannya menemui penonton iaitu Abu Si Raksasa yang akan ditayangkan pada 11 September, diikuti Tembuni Berdarah sebelum penghujung tahun. 

Selain itu, drama Bukan Salahku juga bakal menghiasi slot Akasia TV3 tidak lama lagi.