SEJAK awal pagi tadi, seluruh negara dikejutkan dengan gempa bumi yang melanda beberapa lokasi di Johor.
Menurut kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia daripada Dr Mohd Hisham Mohd Anip, gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dengan kedalaman 10 kilometer (km) itu berlaku di Segamat, Johor pada jam 6.13 pagi.
Lokasi kejadian pada koordinat 2.51° Utara, 102.76° Timur, iaitu kira-kira 5km Barat Segamat, Johor.
Gempa berkenaan turut mengakibatkan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang. Kejadian ini turut dikesan oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia.
Selain itu, gempa bumi susulan bermagnitud 2.8 telah direkodkan pada jam 9.00 pagi di kawasan Yong Peng, Johor, iaitu kira-kira 28km Barat Laut Kluang, Johor.
Berdasarkan analisis MET Malaysia, kedua-dua kejadian gempa bumi pada tarikh tersebut berlaku di Zon Sesar Mersing.
MET Malaysia akan terus memantau keadaan ini dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa. Orang ramai tidak perlu bimbang kerana gempa bumi yang berlaku adalah pada magnitud lemah.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan serta menghubungi talian Hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.
Tiga laporan kerosakan - Polis
Memetik Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, namun pemantauan rapi diteruskan di kawasan berisiko.
“Polis bersama agensi penyelamat lain sentiasa bersiap siaga dan membuat pemantauan berterusan di kawasan tumpuan awam, bangunan kerajaan, kediaman serta rumah ibadat bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin.
“Setakat ini hanya tiga laporan kerosakan diterima dan keadaan di Segamat masih terkawal,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar segera melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada balai polis berhampiran atau menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9324222.
23 lokasi pernah gempa, Malaysia tidak kebal
Ramai yang percaya Malaysia selamat. Public Health Malaysia berkongsi bahawa Malaysia tidak kebal gempa bumi. Ia yang paling diingati ialah gempa di Ranau pada tahun 2015.
"Pada 5 Jun 2015, pagi yang indah di Ranau di mana pendaki yang menawan Kinabalu baru saja menyambut matahari, bergelak tawa dan mengambil gambar kenangan.
"Tiba-tiba… bumi bergegar. Batu-batu besar berjatuhan, seperti langit runtuh di hadapan mata. Dalam sekelip mata, laluan indah bertukar menjadi lorong maut. 18 nyawa terkorban termasuk pelajar sekolah dari Singapura dan malim gunung yang setia menemani pendaki.
"Mereka bukan mati kerana gegaran semata-mata, tetapi kerana runtuhan batu dan tanah yang datang tanpa amaran.
"Di pekan Ranau, orang ramai lari keluar rumah. Retakan muncul di dinding sekolah, kedai dan jalan. Malam itu, ramai tidur di luar rumah, menggigil bukan kerana sejuk, tapi kerana takut gegaran susulan datang bertalu-talu, lebih 90 kali selepas gempa utama," kongsinya.
Tidak hanya itu, sejarah gempa turut tercatat di lokasi ini:
• Di Semenanjung – Gegaran kecil pernah dirasai di Bukit Tinggi (Pahang), Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Manjung dan Temenggor (Perak) dan Tasik Kenyir (Terengganu).
• Sarawak – Pernah direkodkan di Kuching, Samarahan, Bintulu, Bekenu, Niah, Selangau, Sri Aman. Walaupun sederhana, tetap meninggalkan kesan.
• Sabah – Inilah pusat risiko. Ranau, Lahad Datu, Kudat, Sandakan, Tawau, Kunak, Keningau, Kota Marudu, Pitas, Beluran dan Semporna juga pernah digegarkan.
Tip hadapi gempa bumi
Apa yang perlu kita lakukan apabila bumi bergegar?
-Jangan panik, lindungi diri
Saat bumi bergetar, jangan terjun lari membuta tuli. Duduk rendah, lindungi kepala di bawah meja atau perabot kukuh.
Jika di luar, jauhi bangunan, tiang elektrik, atau pokok besar. Ingat, kebanyakan nyawa hilang bukan kerana gegaran tetapi kerana objek yang jatuh menimpa.
-Elakkan lif, cari ruang selamat
Ramai yang fikir lari masuk lif untuk cepat turun. Itu silap besar. Lif boleh tersekat atau terhempas bila elektrik terputus. Gunakan tangga dan cari ruang lapang di luar.
-Jika di gunung atau cerun bukit, hati-hati runtuhan.
Seperti tragedi Ranau, batu jatuh tanpa amaran. Jauhi tebing, lindungi kepala dan segera turun apabila keadaan reda.
-Sedia “beg kecemasan”
Lampu suluh, ubat penting, dokumen peribadi dan sedikit makanan. Nampak remeh tetapi dalam suasana panik, ia boleh jadi penyelamat.
Gempa bumi tidak membunuh dengan gegarannya saja. Apa yang meragut nyawa ialah runtuhan, panik dan kurang persediaan.