PENYANYI muda, Wani Kayrie meluahkan rasa terharu apabila single terbaharunya, Cak Cak Cekuk, dipilih untuk dipersembahkan pada sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya.
Menurut Wani atau nama sebenarnya Syazwani Syafirah Abdullah, pemilihan lagu tersebut ibarat hadiah bermakna buat dirinya selepas melalui perjalanan seni yang penuh cabaran.
“Saya masih tidak percaya apabila diberitahu Cak Cak Cekuk menjadi antara lagu yang dipilih untuk persembahan Hari Kebangsaan.
"Jujurnya, saya sebak dan terharu kerana akhirnya lagu ini orang nampak,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Wani menambah, momen itu menjadi lebih istimewa apabila adiknya, Wina Kayrie, turut sama terbabit dalam persembahan tersebut.
“Lebih membuatkan saya bangga, adik saya Wina pun ada sekali. Kami dapat kongsi pentas dalam suasana penuh patriotik. Itu sesuatu yang akan saya kenang sepanjang hidup,” ujarnya lagi.
Irama rakyat di jiwa moden
Dikenali dengan percubaan mengangkat irama tradisional, Cak Cak Cekuk menampilkan elemen pop segar berasaskan inspirasi lagu rakyat Cak Cekur Udang Gamit.
Lagu itu mendapat sentuhan komposer Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh serta diterbitkan Rocketfuel Entertainment.
Sejak dilancarkan Mei lalu, ia bukan sahaja meraih lebih 500,000 tontonan di YouTube, malah mencetuskan fenomena di TikTok apabila ramai pengguna mencipta tarian dan kandungan kreatif berlatarkan lagu tersebut.