KEJADIAN yang berlaku di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang pagi semalam benar-benar menggemparkan.
Bermula dengan jeritan dari tingkat atas, ia berubah menjadi detik cemas yang hampir meragut nyawa seorang wanita. Mujurlah keberanian seorang ibu berjaya menggagalkan cubaan bunuh menantu sendiri, sekali gus menyelamatkan anak perempuannya daripada tragedi berdarah.
Memetik Sinar harian, menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 pagi. Ketika itu, si ibu terdengar jeritan anaknya sebelum bergegas naik ke tingkat atas untuk memeriksa keadaan.
Alangkah terkejutnya wanita itu apabila mendapati menantunya yang juga seorang guru sedang menindih mangsa sambil cuba mengelar leher isterinya menggunakan pisau dapur. Dengan tindakan pantas, si ibu menarik anaknya keluar dari bilik dan menyelamatkannya daripada terus diserang.
“Bagaimanapun, ibu mangsa sempat bertindak pantas menarik anaknya keluar dari bilik dan menyelamatkannya daripada terus diserang,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian, Rabu.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian leher namun berada dalam keadaan stabil. Suspek pula, selepas gagal mencederakan isterinya, bertindak mengelar leher dan pergelangan tangan sendiri menggunakan senjata yang sama.
Dia kini dirawat di zon merah sebuah hospital dalam keadaan cedera parah tetapi masih sedar.
Siasatan awal polis mendapati pasangan suami isteri berusia 30 dan 28 tahun itu tidak pernah menunjukkan tanda-tanda bergolak, sama ada dari segi kewangan, kesihatan mahupun masalah rumah tangga.
Malah, malam sebelum kejadian, mereka masih berkomunikasi dengan baik dan tiada sebarang petanda luar biasa.
“Pasangan itu tinggal bersama keluarga isteri. Polis masih menyiasat motif sebenar kejadian,” katanya.
Pasangan itu telah berkahwin selama enam tahun, dikurniakan seorang anak, dan tinggal bersama keluarga pihak isteri. Kedua-duanya juga merupakan guru serta pernah melanjutkan pengajian dalam bidang Bahasa Mandarin Second Language di sebuah universiti di Beijing, China.
Sementara itu Berita Harian melaporkan, jiran tetangga mengakui, kejadian itumemang di luar jangkaan. Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, pada awalnya dia menyangka keluarga tersebut sedang mengadakan kenduri kerana melihat ramai orang berkumpul di hadapan rumah.
“Namun kami hanya tahu ada kejadian apabila nampak deretan kereta polis di depan rumah,” kata jiran yang enggan dikenali.
Namun, sebaik sahaja ternampak deretan kereta polis, barulah penduduk setempat menyedari ada perkara besar berlaku.
Pasangan itu sebelum ini dikenali sebagai keluarga yang baik dan sering mengadakan jamuan serta menjemput jiran-jiran. Mereka juga sering dilihat berjalan kaki bersama anak kecil pada waktu petang, tetapi sejak kebelakangan ini sudah jarang kelihatan.
Bagi masyarakat setempat, pasangan itu dianggap sebagai suami isteri bahagia dan berpendidikan tinggi.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti motif sebenar kejadian yang hampir meragut dua nyawa ini. Apa pun, keberanian seorang ibu terbukti menjadi penyelamat pada pagi penuh debaran itu, sekaligus mengelakkan tragedi lebih buruk daripada berlaku.