'Perit membayangkan penderitaan Aizzat dipukul beramai-ramai' – Ibu syukur keadilan kes bunuh pelajar KV Lahad Datu terbela

Iklan

SETIAP detik, setiap sudut, setiap ruang di rumahnya kini hanya menjadi kenangan yang menusuk hati seorang ibu.

"Tetapi semua itu hanya tinggal bayangan… kerana Aizzat sudah tiada,” ujar Siti Hamidah Jumari, 46, penuh sebak.

Iklan
Iklan

Luahan itu hadir bersama linangan air mata, mengenangkan pemergian anak ketiganya, Allahyarham Mohd Nazmie Aizzat Narul Azwan, 17, pelajar Kolej Vokasional (KV) Lahad Datu, yang ditemukan tidak sedarkan diri di bilik asrama pada 21 Mac tahun lalu.

Iklan

Bagi Siti Hamidah, kehilangan arwah bukan sekadar kehilangan seorang anak. Ia adalah kehilangan sahabat, peneman dan sumber kebahagiaan keluarga.

Iklan

Aizzat disifatkan seorang anak penyayang, ringan tulang dan bertanggungjawab. Namun takdir merubah segalanya.

"Luka di bibirnya masih jelas dalam ingatan. Bibir itu jugalah yang pernah saya susukan, yang selalu saya suapkan nasi… hati saya hancur,” katanya.

Kehilangan itu terlalu berat untuk ditanggung. Trauma mendalam membuatkan Siti Hamidah terpaksa berhenti kerja dan berpindah rumah. Baginya, setiap ruang di rumah lama terlalu sarat dengan memori arwah.

Sumber foto: Media Sosial

"Saya rasa bersalah kerana tidak dapat melindunginya, apatah lagi tidak berada di sisi ketika dia menghembuskan nafas terakhir,” luahnya.

Kesan tragedi itu bukan sahaja menimpa seorang ibu, malah seluruh keluarga. Adik-beradik Aizzat turut terjejas emosi, hidup mereka dibayangi rasa takut dan trauma. Hilangnya seorang insan tercinta menyebabkan kehidupan seharian mereka tidak lagi sama. Gelak ketawa yang dulu mengisi ruang rumah kini diganti sunyi sepi.

Lebih memilukan, pelajar yang bercita-cita tinggi untuk mengubah nasib keluarga pergi dalam keadaan tragis. Impian yang dibina tidak kesampaian, meninggalkan luka yang tidak mungkin terubat.

Selepas lebih setahun menanti, akhirnya keluarga ini mampu menarik sedikit nafas lega apabila Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan terhadap seorang bekas pelajar KV Lahad Datu berusia 20 tahun atas kesalahan membunuh Aizzat.

Manakala, 12 lagi tertuduh yang masih di bawah umur turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah.

Bagi Siti Hamidah, keputusan itu memberi sedikit kelegaan meskipun luka di hati tidak akan pernah sembuh.

"Walaupun dia sudah tiada, sekurang-kurangnya kes ini mendapat pembelaan selepas menunggu lama,” katanya dengan nada bercampur lega dan pilu.

Meskipun dia memaafkan perbuatan tertuduh, namun katanya tanggungjawab terhadap kesalahan itu tetap perlu dipikul.

“Saya maafkan, tapi tanggungjawab tetap ada. Hukuman ini mungkin boleh jadi pengajaran kepada semua pihak,” katanya.

Tragedi kehilangan seorang anak bukan mudah untuk diterima, apatah lagi apabila ia berlaku dalam keadaan menyayat hati. Namun, kehidupan perlu diteruskan. Bagi Siti Hamidah, meskipun jiwa seorang ibu tidak akan pernah benar-benar pulih, beliau cuba untuk mengumpul kekuatan demi anak-anak yang lain.

"Hanya doa dan sedekah al-Fatihah yang mampu saya kirimkan. Semoga dia tenang di alam sana,” ujarnya 

sumber: Berita Harian & Sabah Media