Tragedi jalan raya: Wanita maut digilis treler, video suami & anak tular undang sebak ramai!

Iklan

SIAPA sangka perjalanan singkat tiga beranak  bertukar menjadi detik paling menyayat hati. Itulah yang berlaku kepada seorang lelaki apabila insan tersayang, isterinya, pergi buat selamanya sekelip mata selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Jalan Pelabuhan Barat dari arah Pulau Indah menghala ke Klang, Rabu lalu.

Lebih memilukan, saat pilu itu turut dirakam kamera papan pemuka kenderaan lain sebelum tular di media sosial. Video berdurasi beberapa minit tersebut memaparkan suami berkenaan meraung sambil cuba menarik tubuh kaku isterinya yang baru sahaja digilis treler.

Iklan
Iklan

Bukan itu sahaja, dia juga dilihat berusaha menyelamatkan anak perempuan mereka berusia 10 tahun yang turut terjatuh ketika motosikal ditungganginya bergesel dengan kenderaan berat terbabit. Mujurlah si kecil itu hanya mengalami kecederaan ringan.

Iklan

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa, kemalangan berlaku kira-kira jam 1.20 tengah hari. Motosikal jenis SM Sport 110R yang ditunggang mangsa bersama suami dan anak dipercayai cuba menyelit di antara beberapa treler sebelum bergesel dengan salah satu daripadanya.

Akibat pergeseran itu, motosikal terbabit hilang kawalan sebelum penumpangnya digilis. Suami yang menunggang serta anak mereka hanya cedera ringan, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

Mayat wanita berusia 30-an itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat. Suami serta anak turut menerima rawatan di hospital sama. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tragedi yang meragut nyawa ibu muda ini sekali lagi membuka mata masyarakat tentang risiko menunggang motosikal, apatah lagi apabila cuba menyelit di celah-celah kenderaan berat.

Sebagai penunggang, ramai mengakui jalan raya sering menjadi medan untuk ‘ambil peluang’ memintas. Namun, apa yang dianggap jalan pintas boleh menjadi detik terakhir dalam hidup jika tersilap langkah.

Polis turut mengingatkan pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal agar sentiasa fokus, tidak terburu-buru dan elakkan memotong secara berbahaya. Ingatlah, nyawa lebih berharga daripada segalanya.

Insiden ini bukan sekadar berita tragis, tetapi juga peringatan bahawa setiap kali kita keluar dari rumah, ada insan yang menunggu kepulangan kita.

Seorang suami kehilangan isteri, seorang anak kecil pula kehilangan kasih ibu – hanya kerana beberapa detik keputusan di jalan raya. Semoga kejadian ini menjadi pengajaran buat semua. Hati-hati di jalan raya, jangan gadaikan nyawa demi cepat sampai ke destinasi.