Hujan bakar semangat Harimau Malaya melalui Demi Lencana Di Dada

Iklan

BOLA sepak, muzik dan semangat kebangsaan adalah tiga elemen yang kini bersatu melalui lagu terbaru Hujan, Demi Lencana Di Dada

Single itu merupakan kolaborasi mantap antara Warner Music Malaysia (WMM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyuntik aura patriotik kepada Harimau Malaya serta peminatnya.

Iklan
Iklan

Bukan sekadar lagu biasa, karya itu dirangka untuk membakar semangat pemain dan penyokong. 

Demi Lencana Di Dada mendapat sentuhan kumpulan itu menonjolkan rasa bangga, tekad dan kebersamaan, seolah-olah setiap nota muziknya mampu dirasai di setiap penjuru stadium.

Iklan

Menurut Noh, vokalis Hujan, proses penghasilan lagu itu bermula Februari lalu. 

“Kami sangat berbesar hati diberi peluang menyanyikan lagu rasmi Harimau Malaya. Bola sepak adalah sebahagian daripada jiwa kita. 

Iklan

"Lagu ini bukan sekadar bunyi, tetapi semangat yang menyatukan seluruh negara di belakang pasukan kebanggaan,” katanya.

Bagi peminat yang hadir di stadium, Demi Lencana Di Dada diperdengarkan buat pertama kali hari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, sempena perlawanan persahabatan Malaysia menentang Singapura. 

Kemudian, lagu tersebut akan mengiringi perlawanan menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, 8 September depan.

Walaupun berdepan cabaran besar untuk merakam setiap bait lirik dan melodi dengan penuh keikhlasan, Noh menegaskan, semangat pasukan dan penyokong menjadi inspirasi utama mereka. 

“Setiap nada dan lirik perlu membakar semangat, sama ada di stadium atau di rumah. Ini bukan sekadar lagu, ia simbol perjuangan, pengorbanan dan harapan,” ujarnya.

Selain membakar semangat di padang, lagu ini juga menyatukan generasi peminat dari pelbagai latar belakang. 

Noh menambah, “Kami harap bola sepak Malaysia terus maju, bukan hanya dari segi prestasi antarabangsa, tetapi juga menyatukan rakyat. Bola sepak ada kuasa untuk menghubungkan semua.”

Sebagai rekod, Demi Lencana Di Dada adalah lagu rasmi pertama untuk pasukan kebangsaan yang diusahakan bersama antara FAM dan WMM. 

Single berkenaan kini boleh distrim di semua platform digital, manakala lirik video boleh ditonton di YouTube Warner Music Malaysia.