"TAK sangka itu touch up terakhir mommy buat untuk Bunga."
Demikian luah seorang ibu, Amelia Kartika Mappatata, 32, yang kehilangan puteri tunggalnya dalam kemalangan baru-baru ini.
Memuat naik video sayu berdurasi 28 saat, ibu muda itu mengimbas kenangan permata hatinya yang pergi meninggalkan mereka sekeluarga dalam sekelip mata pada 24 Ogos lalu.
Video memaparkan dia mendandan si kecil bernama Chempaka Alara Azizi tanpa disangka menjadi momen terakhir sebelum dua beranak itu terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang menghadiri undangan perkahwinan di Alor Gajah, Melaka.
Menerusi video yang dimuat naik, si kecil itu dengan wajah polos penuh ceria membiarkan ibunya mendandan rambutnya, lalu diikat kemas menjadi dua tocang.
"Mommy tidak dapat mandikan Bunga buat kali terakhir. Tak dapat hantar Bunga ke 'rumah baru'.
"Tetapi mommy sudah siapkan Bunga cantik-cantik pagi itu untuk balik ke rumah kita jumpa ayah. Tak sangka itu touch up terakhir mommy buat untuk Bunga.
"Terima kasih sayang mommy untuk tiga tahun yang bermakna. Mommy dan ayah sayang anak cantik mommy itu," tulisnya pada video yang menerima 3.2 tontonan itu.
Untuk rekod, si kecil berkenaan meninggal dunia apabila kereta yang dinaiki terbabas dan bertembung dengan sebuah pacuan empat roda kemalangan di Kilometer 142 Jalan Keratong–Bahau, Muadzam Shah.
Amelia yang terselamat dalam kemalangan itu, namun mengalami kecederaan termasuk patah tulang rusuk dan tangan kanan serta. Dia yang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) tidak dapat menguruskan jenazah puteri tersayang buat kali terakhir.
Warganet tidak dapat menahan kesedihan memberikan kata-kata semangat buat Amelia untuk terus kuat.
Malah ramai yang mengambil ia sebagai pengajaran untuk merakam setiap momen sebagai kenangan bersama orang tersayang.
"Sedihnya, ini betul-betul video sebelum kejadian ke? Sebab rambut dan baju nampak sama. Ya ALLAH, beratnya ujian ini. Semoga ALLAH mengganjarkan syurga buat keluarga ini dan menguatkan mereka menghadapi kehilangan yang tak terbayang ini," titip Cikgu Qiela.
"Tadi FYP keluar video abang RXZ memangku anak syurga ini, sekarang pula video ibunya. Saya menangis, awak. Sebab anak kita sebaya,Kuat ya, ibu. Bunga tunggu ibu dan ayah di sana," tulis Qaseh Naziha.
"Sikit-sikit nak rakam, sikit-sikit nak rakam. Inilah salah satu sebab kenapa kita perlu rakam setiap momen lebih-lebih lagi dengan keluarga. Sebab kalau salah seorang pergi dahulu, rakaman inilah yang akan jadi kenangan, jadi ‘flashback’ yang paling berharga. Bidadari syurga, tunggu Mommy ya. Tarik tangan Mommy sama-sama masuk syurga dengan awak nanti, sayang," kongsi Iera Ganu.
Terdahulu, SinarPlus berkongsi kisah pilu suami Amelia, Azizi Abd Karim, 32, yang sempat membuat panggilan video dengan Bunga lima minit sebelum kemalangan.
Jurulatih renang itu sayu dan sempat rebah terlalu sayu dan sebak kehilangan permata hatinya secara tiba-tiba di Unit Forensik HTAA.
Dia meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat memeluk anak kesayangannya itu sebelum mereka bertolak.