'Walau dalam wad, ia istimewa' - Bakal suami kemalangan, pengantin tular teruskan akad nikah di hospital

Iklan

JARANG-jarang dapat menyaksikan majlis akad nikah berlangsung di dalam hospital. Momen penuh bermakna sepasang pengantin ini menjadi bukti bahawa cinta sejati tidak mengenal tempat atau keadaan.

Pengantin perempuan, Nur Sufia Amalin Che Ramli, 26, tampil anggun berbaju kurung manakala suaminya, Che Muhammad Rifqi Danial Che Alias, 25, yang masih terlantar akibat kemalangan, menyempurnakan lafaz akad disaksikan ahli keluarga dan kaki tangan Wad 6C Ortopedik, Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP).

Iklan
Iklan

Susulan pernikahan yang unik, perkongsian detik hari bahagia pasangan itu menjadi tular, mengumpul lebih 1,800 tanda suka daripada warga maya.

"5 September 2025, sebuah majlis akad nikah berlangsung di dalam hospital yang jarang-jarang kita lihat. Pengantin lelaki, Che Muhammad Rifqi Danial yang dimasukkan ke Wad 6C Ortopedik pada 1 September 2025 akibat kemalangan jalan raya, tetap melangsungkan penyatuan hati bersama pilihan hatinya, Nur Sufia Amalin.

Iklan

"Memandangkan persiapan majlis telah dirancang sekian lama, kedua-dua pihak keluarga memohon agar akad nikah tetap diteruskan. Pihak HSIP melalui Inisiatif Hospital Mesra Ibadah (HMI) amat berbesar hati membenarkan serta menyediakan ruang khas agar majlis berjalan dengan lancar.

Iklan

"Setinggi penghargaan diucapkan kepada pihak pengurusan HSIP, Jabatan Ortopedik HSIP, warga kejururawatan, Jawatankuasa HMI, Unit Komunikasi Korporat serta Unit Keselamatan dan Radicare HSIP yang telah sama-sama membantu menjayakan majlis ini. Semoga pasangan mempelai berbahagia dan diberkati hingga ke jannah," kongsinya.

Pengantin perempuan, Nur Sufia Amalin ketika dihubungi SinarPlus menitipkan rasa syukur majlis berkenaan berjalan lancar biarpun lari daripada perancangan asal susulan kemalangan.

"Majlis akad nikah di wad dibuat atas perbincangan dan persetujuan kedua-dua belah pihak keluarga, dengan kebenaran serta bantuan daripada pihak hospital. Alhamdulillah, suami saya masih boleh bercakap dengan jelas walaupun dalam keadaan terlantar, jadi akad dapat dijalankan dengan sempurna.

"Sebenarnya tarikh akad nikah memang sudah dirancang pada 5 September, cuma tidak menyangka majlis terpaksa dilakukan di hospital selepas kejadian menimpa suami pada 1 September sebelum itu. Kami sudah bertunang sebulan sebelum jadi majlis akad nikah ini adalah sambungan kepada perancangan asal kami," kongsinya.

Dengan hanya tujuh orang dibenarkan menyaksikan  dan berlangsung dengan ringkas, pengantin perempuan menjelaskan ia adalah momen yang sangat istimewa.

"Majlis akad nikah diadakan pada jam 10 pagi. Yang dibenarkan hadir hanyalah saya dan suami, wali saya, dua orang saksi, tok imam, serta umi saya dan umi abah suami.

"Saya sendiri tak sangka pihak hospital begitu prihatin dan buat persiapan yang sangat cantik untuk kami pada hari tersebut. Walaupun hanya di dalam wad, rasanya seperti satu majlis yang cukup istimewa," kongsinya.

Warga maya tertarik dengan keunikan akad nikah dan menitipkan ucapan tahniah buat pasangan mempelai. 

Bukan itu sahaja, ada yang memuji inisiatif pihak hospital yang membenarkan majlis berkenaan berlangsung.