APABILA nama pempengaruh popular disebut, pasti ada sahaja kisah menarik yang mengundang perhatian.
Demikian juga dengan Cik Epal, ibu kepada sepasang cahaya mata ini yang sering menjadi bualan netizen. Terbaharu, timbul cerita bahawa beliau semakin serius menjalin hubungan bersama seorang jejaka dikenali sebagai Ammar.
Spekulasi mula rancak diperkatakan apabila ada yang mendakwa pasangan ini bakal melangkah ke fasa baharu dengan mengikat tali pertunangan atau perkahwinan tidak lama lagi. Malah, khabar angin turut menyebut bahawa persiapan untuk hari bahagia sudah pun berjalan.
Baru-baru ini, sebuah video tular memperlihatkan Cik Epal berada di sebuah butik pakaian untuk memilih baju Melayu khas buat pembawa dulang hantaran lelaki.
Dalam rakaman itu, beliau sempat disapa oleh pengurus pemasaran bagi butik tersebut.
“Betul ke ni? Astaghfirullahalazim. Berapa dulang boy? Tujuh?” soal lelaki yang dikenali sebagai Muzaffar itu.
Cik Epal yang tidak menafikan hal itu menjelaskan persiapan tersebut memang dibuat khusus untuk dulang boy.
Momen itu secara tidak langsung menguatkan lagi tanda tanya dalam kalangan peminat tentang status sebenar hubungan Cik Epal dan Ammar.
Walaupun belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada kedua-duanya, tanda-tanda yang muncul sudah cukup membuat ramai mula meneka yang wanita berkenaan mula mengorak langkah baharu dalam hidupnya.
Untuk rekod, Cik Epal pernah mendirikan rumah tangga dengan Jofliam pada 1 Jun 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Han dan Yuki.
Pasangan itu bagaimanapun bercerai pada tahun 2024 selepas 10 tahun berkahwin
Buat masa ini, sama ada benar atau tidak majlis bahagia akan berlangsung, hanya masa sahaja yang mampu merungkai.
Apa yang pasti, netizen sudah mula menanti jika ada berita gembira bakal dikongsikan tidak lama lagi.