Isu nafkah anak: Rita Rudaini pertahan Raja Azura, tegaskan tanggungjawab bapa – 'Hutang tetap hutang'

Iklan

ISU nafkah anak sering dianggap remeh, seolah-olah ia hanya urusan rumah tangga yang gagal.

Hakikatnya, ia menyentuh masa depan generasi muda yang sedang membesar. Inilah yang cuba diperjuangkan oleh selebriti Raja Azura apabila beliau kembali ke mahkamah menuntut hak tiga anaknya, walaupun sudah lebih 15 tahun berpisah dengan bekas suami.

Iklan
Iklan

Langkah berani Raja Azura itu mendapat perhatian ramai, termasuk sokongan penuh daripada pelakon Rita Rudaini.

Bagi Rita, isu nafkah tidak boleh dikaitkan dengan tempoh masa kerana tanggungjawab seorang bapa terhadap anak tidak pernah ada tarikh luput.

Iklan

“Saya sokong penuh. Nafkah anak bukan soal masa, tapi tanggungjawab dan tanggungjawab tiada tarikh luput.

“Benda macam ini tak pernah ada kesudahan, habis duit turun naik mahkamah tapi tiada apa-apa yang berlaku.

Iklan

“Akhirnya, kami ibu-ibu tunggal tetap kena teruskan tapi hutang tetap hutang," tegasnya.

Pelakon itu juga memberi peringatan tentang kesan buruk jika seorang bapa culas menunaikan tanggungjawab.

“Nanti tua, dah sakit sibuk nak salam lah, nak peluk lah, nak minta duit dekat anak lah.

“Lepas tu kalau anak tak peduli, tuduh mak hasut anak, anak derhaka..shame on you!," ungkapnya penuh makna.

Perkongsian Rita bukan sekadar luahan hati seorang ibu tunggal, tetapi realiti yang dirasai ramai wanita di luar sana.

Nafkah bukanlah soal wang semata-mata, ia adalah bentuk tanggungjawab yang menjamin keperluan asas seperti pendidikan, kesihatan dan kebajikan anak-anak.

Raja Azura sendiri ketika ditemui media menjelaskan, tuntutan yang difailkan bukanlah kerana mahu berbalah dengan bekas suami, Adzmin Othman.

HAK ANAK TERBELA 

Sebaliknya, dia hanya mahu memastikan hak anak-anaknya terbela dan kehidupan mereka tidak terjejas.

Hakikatnya, ramai ibu tunggal di Malaysia yang berjuang membesarkan anak-anak sendirian. Mereka terpaksa bekerja keras, menggalas peranan ganda sebagai ibu dan bapa, selain berdepan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tidak semua bernasib baik untuk mendapat kerjasama bekas pasangan. Ada yang terpaksa mengharungi proses undang-undang bertahun-tahun, ada yang menyerah kerana lelah, dan ada juga yang terus berjuang tanpa mengenal putus asa — seperti yang dilakukan Raja Azura hari ini.

Apa yang berlaku dalam kalangan selebriti sebenarnya hanyalah cerminan realiti masyarakat. Ramai ibu tunggal di luar sana senasib dengan mereka, cuma tidak semua kisah mendapat perhatian umum.

Dalam masyarakat hari ini, sikap bertanggungjawab perlu ditanamkan sejak awal. Perceraian mungkin menamatkan sebuah hubungan, tetapi bukan alasan untuk menamatkan kewajipan terhadap darah daging sendiri.

Di sebalik glamor dan populariti dunia seni, kisah Raja Azura ini membuka mata bahawa selebriti juga berdepan perjuangan sama seperti orang biasa. Dengan keberaniannya menuntut hak, beliau memberi inspirasi kepada ramai ibu tunggal untuk terus bersuara.

Sementara itu, suara lantang Rita Rudaini menjadi penguat mesej bahawa seorang ibu sanggup lakukan apa sahaja demi anak-anak. Nafkah bukan sekadar soal undang-undang, tetapi soal hati, amanah dan maruah.

Kerana akhirnya, anak-anak yang dibesarkan dengan cukup kasih sayang dan keperluan akan menjadi cerminan siapa kita sebagai ibu dan bapa. Dan itu, tidak ada siapa pun boleh nafikan.