PROSIDING hari kelapan inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menerima maklumat bahawa remaja tidak pernah mengadu masalah dihadapi di asrama.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, 31, yang juga guru subjek Bahasa Arab kepada Zara Qairina.
Azhari berkata, Zara yang belajar di kelas Tingkatan 1 Fatimah, tinggal di Asrama Qurratu Ayun di tingkat 3 Blok Rabiatul Adawiyah bersama 11 pelajar lain dan bangunan tersebut berada di bawah seliaannya.
Menceritakan kembali insiden pada 16 Julai, Azhari berkata, beliau mendapat panggilan daripada pengawal keselamatan iaitu Linah Mansoding @ Jaliha, 65, pada 3.04 pagi mengenai kejadian malang yang menimpa remaja itu.
"Apabila di bangunan asrama tersebut, saya melihat Zara Qairina terbaring di longkang asrama dalam keadaan tidak sedarkan diri... pada pengamatan saya, Zara Qairina dalam keadaan bernafas seperti tidur berdengkur.
"Ketika itu, lima pelajar dan Linah berada bersama saya... saya meminta mereka mengangkat Zara dari kawasan longkang ke kawasan terlindung yang rata iaitu di atas simen," katanya.
Azhari berkata semasa mengangkat Zara Qairina, beliau nampak kesan darah di bucu longkang dan kesan kecederaan pada bahagian pergelangan kaki mangsa dan terus menghubungi talian kecemasan 991 untuk mendapatkan bantuan pada 3.17 pagi.
Saksi itu berkata, beliau kemudian menghubungi Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sebelum ke rumah Pengetua iaitu Ustazah Shaharoom Hashim yang terletak berdekatan asrama untuk memaklumkan kejadian tersebut.
"Saya kemudian menghubungi nombor 991 buat kali kedua pada 3.47 pagi.
"Zara Qairina kemudiannya dibawa ke hospital dengan ambulans yang tiba sebelum 4 pagi," katanya sambil menambah susulan kejadian itu, beliau telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.
Imbas kembali, Zara Qairina, 13, meninggal dunia di HQE pada 17 Julai.
Remaja itu dimasukkan ke HQE sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolah pada 16 Julai.
Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Sumber: BERNAMA