MEMASUKI minggu ketiga, prosiding inkues kematian Zara Qairina terus menjadi perhatian. Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha memberitahu Mahkamah Koroner, Zara Qairina Mahathir dilihat menangis dan menafikan tuduhan mencuri sebelum menuju ke tandas buat kali terakhir.
Memetik Bernama, saksi kelapan inkues berkenaan, Azhari Abd Sagap, 31, mendakwa dia menerima salinan pengakuan bertulis daripada lima pelajar berhubung insiden tersebut.
Azhari yang juga guru Bahasa Arab Zara memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan memaklumkan dokumen berkenaan ditulis selepas dia mengarahkan warden lain menjalankan siasatan dalaman pada 16 Julai lalu, sebaik pelajar itu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).
“Pada malam sebelum kejadian, seorang pelajar Tingkatan Satu membuat aduan kepada ketua dorm bahawa barang miliknya hilang.
“Zara kemudian dipanggil dan ditanya mengenai perkara itu. Dia menafikan tuduhan serta bersumpah dengan lafaz ‘wallahi’,” katanya
Namun, jelasnya, Zara sekali lagi menegaskan dia tidak mengambil barang tersebut.
“Zara dikatakan meninggalkan bilik sambil menangis dan menjerit: ‘Aku tidak mencuri bah, bodoh’.
"Perkara ini dimaklumkan kepada saya oleh seorang pelajar Tingkatan Satu.
“Kali terakhir dia dilihat ialah ketika keluar dari bilik berkenaan menuju ke tandas dalam keadaan menangis,” katanya.
Imbas kembali, Zara Qairina, 13, meninggal dunia di HQE pada 17 Julai.
Remaja itu dimasukkan ke HQE sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolah pada 16 Julai.
Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis manakala sebelum itu pada 8 Ogos telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur remaja itu bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Inkues kematian Zara bermula 3 September dijangka berakhir pada 30 September depan.
Sumber: Bernama