INKUES kematian Zara Qairina Mahathir memasuki minggu ketiga menyaksikan saksi kelapan, Ketua Warden, Azhari Abd Sagap memberitahu Mahkamah Koroner kewujudan pelajar yang berpindah bilik penginapan selepas insiden menimpa remaja itu pada 16 Julai lalu.
Hal berkenaan telah didedahkan ketika menjawab soalan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Shahlan Jufri.
Dalam prosiding pada Khamis, Azhari memberitahu, salah seorang pelajar yang dituduh di mahkamah dalam kes membabitkan Allayarham Zara Qairina Mahathir, masih lagi mengalami trauma dan sudah berpindah ke bilik lain selepas kejadian.
Difahamkan, bagi tujuan inkues itu, kelima-lima pelajar tersebut dinamakan sebagai A, B, C, D dan E.
Shahlan: Saya andaikan B,C,D dan E masih lagi ketua dorm?
Azhari: D dan C bukan ketua dorm, B dan E yang ketua dorm. Tetapi lepas kejadian, E bukan lagi ketua dorm sebab dia beritahu dengan kejadian itu dan dia tidak boleh lagi menginap di bilik itu. B saya tak pasti (sama ada masih ketua dorm atau tidak).
Azhari juga berkata, tiada perbincangan dilakukan antara warden mengenai penamatan jawatan ketua dorm bagi B,C,D dan E.
Pelajar itu dinamakan sebagai A, B, C, D dan E terdahulu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.
Prosiding yang memasuki hari kesembilan masih lagi berlangsung.
Imbas kembali, Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 17 Julai.
Pelajar Tingkatan Satu itu dimasukkan ke hospital berkenaan selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolah pada 16 Julai.
Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina.
Sumber: Awani