SAKSI kelapan prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir, Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap memberitahu Mahkamah Koroner remaja dikenali sebagai 'Pelajar A' telah bermalam di rumah Allahyarham.
Difahamkan, pelajar A yang berusia di bawah 18 tahun bermalam di rumah Zara di Sipitang empat hari sebelum remaja itu ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama.
Perkara itu dimaklumkan ibu Zara, Noraidah Lamat, kepada Azhari ketika mereka bertemu di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth pada 16 Julai lalu.
Perkara itu dimaklumkan Azhari ketika menjawab soalan peguam Joan Goh, yang mewakili Pelajar A.
“Semasa di Unit Kecemasan, ibu Zara ada ceritakan bahawa Zara kelihatan ceria di rumah dan suka menulis. Pelajar A dikatakan kawan baik Zara, tahu tentang dirinya dari A hingga Z.
"Mungkin sebab itu ibu Zara menganggap Pelajar A rapat dengannya,” kata Azhari.
Pelajar A merupakan antara lima remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak pada 20 Ogos lalu atas tuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.
Dalam prosiding inkues yang memasuki hari kesepuluh itu juga dimaklumkan pelajar A juga difahamkan telah mengambil cuti sakit selama 19 hari sebelum berpindah ke sekolah lain.
Azhari memaklumkan bahawa ibu kepada pelajar berkenaan - dirujuk sebagai Pelajar A - telah menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp dan mengemukakan dua sijil cuti sakit daripada klinik kesihatan.
“Pada 28 Julai, ibu Pelajar A menghantar sijil cuti sakit bermula dari 28 Julai hingga 4 Ogos. Kemudian, pada 7 Ogos, beliau menghantar sijil baharu untuk tempoh 8 Ogos hingga 18 Ogos,” jelasnya.
Memetik Awani, ibu pelajar A pernah meminta cuti tambahan pada 26 Julai atas alasan anaknya mengalami trauma selepas didakwa diganggu oleh ibu Zara Qairina melalui mesej WhatsApp.
“Beliau menyatakan anaknya trauma dan memberi amaran bahawa tindakan akan diambil sekiranya nama anaknya terus disebut. Saya menasihatkan agar perkara itu dilaporkan terus kepada pegawai penyiasat,” katanya.
Terdahulu, Azhari memaklumkan kepada mahkamah bahawa seorang daripada pelajar yang dituduh telah bertukar ke sekolah lain.
Namun, guru Bahasa Arab itu tidak mengetahui sebab sebenar pemindahan itu kerana ia di luar bidang tugasnya.
Katanya lagi, pelajar lain yang turut dituduh masih bersekolah di SMKA Tun Datu Mustapha dan telah dipanggil untuk sesi kaunseling dan memberi keterangan.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Hassan akan bersambung semula pada Isnin, melibatkan saksi dalam kalangan pelajar.
Sumber: Awani, Sinar Harian