Dikepung, Zara Qairina dituduh mencuri malam sebelum insiden - 'Menangis ditertawa, diejek ingin jadi Badar'

Iklan

PILU & menyayat hati! Keterangan saksi kanak-kanak kedua dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir pada Rabu menyentuh sanubari.  

Saksi berkenaan menggambarkan situasi yang berlaku pada malam 15 Julai lalu, sebelum Zara ditemui tidak sedarkan diri di bangunan asrama, pada pagi keesokannya.

Iklan
Iklan

Peguam mewakili ibu Zara Qairina, Rizwandean M Borhan memaklumkan, menurut keterangan saksi, insiden bermula apabila dia kehilangan dompet dan mengesyaki arwah Zara Qairina.

Memetik Sinar Harian, Rizwandean berkata, Zara Qairina kemudian dipanggil ke sebuah 'dorm' lain dan dikepung untuk disoal siasat namun menafikan mengambil dompet berkenaan.

Iklan

"Menurut saksi kanak-kanak ini, pada malam 15 Julai 2025 dia telah mengadu kepada seorang pelajar bahawa dompetnya hilang dan mengesyaki Zara yang mengambilnya.

Iklan

"Selepas itu, seorang pelajar telah memanggil Zara ke dorm mereka dan membawanya ke hujung dorm untuk disoal sama ada dia mencuri dompet tersebut.

"Namun Zara menafikan, dia kata tidak menyentuh dompet, tidak ambil, dan pelajar yang menyoal meminta Zara bersumpah. 

"Zara kemudian bersumpah 'Wallahi saya tidak ada sentuh, saya tidak ambil dompet ini'. Pelajar yang membuat aduan akhirnya percaya dengan arwah Zara dan mengatakan 'sorry'," katanya ketika berkongsi apa yang berlaku di Mahkamah Koroner kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pada Rabu.

Kata Rizwandean lagi, tiba-tiba seorang pelajar lain masuk ke bilik lalu memarahi dan menuduh arwah Zara mencuri pin bendera miliknya.

"Kemudian pelajar itu keluar semula dan membawa dua orang lagi rakannya bersama beberapa pelajar lain masuk ke bilik. Ketika itu, arwah Zara masih duduk di sudut dorm dikelilingi beberapa pelajar yang berdiri.

"Seorang pelajar marah kepadanya dan beberapa perkataan kesat telah digunakan. Pada masa itu arwah Zara menangis. Menurut saksi kanak-kanak hari ini, dia nampak Zara menangis," katanya.

Jelasnya, saksi juga memaklumkan beberapa pelajar lain yang berada di bilik tersebut turut mengejek.

"Beberapa pelajar ketawa melihat arwah Zara. Saksi menggunakan perkataan ketawa.

"Menurutnya, seorang daripada mereka membawa sepucuk surat dan menyebut ia kertas privasi Zara. Itu perkataan yang digunakan, 'privasi Zara'. Beberapa pelajar kemudian mentertawakan Zara berdasarkan surat itu dan arwah makin menangis.

"Selepas itu, pelajar-pelajar lain beredar keluar dan arwah Zara terus menangis sebelum berlari keluar.

"Kami ada tanya sama ada dia (saksi) buat sesuatu ketika itu, dia kata dia pun takut kerana Zara menangis. Dia turut menggunakan perkataan 'Zara ditahan, dikepung'," katanya.

Ditanya mengenai isi kandungan surat tersebut, Rizwandean berkata, ia berkaitan hasrat Zara Qairina untuk menjadi Badar (Badan Dakwah dan Rohani) atau pengawas surau di sekolah.

"Kami ada tanya lebih lanjut, kalau tidak silap saya, dia kata arwah Zara pernah menyatakan mahu menjadi Badar, iaitu pengawas surau.

Ditanya sama ada berlaku sebarang sentuhan terhadap Zara Qairina, beliau menjelaskan tiada sebarang sentuhan kecuali sesi soal siasat.

"Menurut saksi, tiada sentuhan. Yang ada ketika itu lima pelajar bersama tiga ahli dorm lain. Tetapi berapa orang yang soal siasat, kami tidak dapat pastikan kerana menurut saksi hanya seorang pelajar yang marah," katanya.

Sehubungan itu, Rizwandean berkata, keterangan tersebut adalah rumusan daripada prosiding Mahkamah Koroner hari ini.

"Jadi, ini antara keterangan saksi kanak-kanak pada hari ini, boleh dirumuskanlah.

"Saya berharap kamu (media) berada di dalam untuk buat liputan," katanya.

Sebelum itu, Rizwandean bersama rakan sepasukannya iaitu Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi dan Farrah Nasser mewakili Noraidah Lamat sebagai pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan.

Sumber: Sinar Harian