KEJAM! Dipukul dengan tukul hingga kritikal, kejadian yang menimpa kanak-kanak berusia tujuh tahun di Jelawat, Bachok mengundang pelbagai reaksi warga maya. Dalam perkembangan terbaharu, Sinar Harian mendedahkan suspek disahkan mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan mengalami halusinasi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman berkata, penganggur berusia 46 tahun itu bagaimanapun ditemukan meninggal dunia di Pantai Melawi di sini pada jam 8.30 malam hari sama.
“Suspek mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan dipercayai berhalusinasi,” katanya.
Menurut beliau, polis turut menahan seorang wanita berusia 36 tahun yang juga isteri suspek utama bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mohd Azrie berkata, mayat suspek dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk bedah siasat, manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.
Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, kanak-kanak Tahun Satu terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan kini dilaporkan kritikal serta menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia.
Sementara itu, mangsa, Muhammad Ammar Muhammad Badrul, 7, berada di rumah suspek kerana ingin bermain dengan anak suspek yang bersekolah di sekolah yang sama.
Bapa mangsa, Muhammad Badrul Remli, 30, berkata dia jarang meninggalkan si kecil itu di rumah kakak kandungnya hanya kerana ingin memenuhi kehendak Muhammad Ammar bermain dengan sepupu.
Berikut kronologi insiden yang berlaku pada petang Khamis.
1-Bapa mangsa, Muhammad Badrul menjemput Muhammad Ammar dan anak suspek yang berusia lapan tahun kira-kira jam 12.40 tengah hari dan meninggalkan kedua-duanya di rumah suspek yang juga abang iparnya di Pasar Jelawat, beliau bergerak ke Kota Bharu bagi urusan kerja.
2-Kira-kira jam 4.30 petang, Muhammad Badrul menerima panggilan daripada kakaknya memaklumkan abang ipar telah memukul Muhammad Ammar menggunakan tukul sehingga cedera parah.
3-Bapa berkenaan berkata, anaknya ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di sebuah bilik yang dipercayai stor kecil dalam rumah berkenaan, selepas dia bergegas ke rumah kakaknya.
4-Difahamkan, ketika itu kakaknya sedang tidur sementara dua anak wanita berkenaan yang berumur lima dan lapan tahun serta Muhammad Ammar bermain ruang tamu. Manakala, seorang lagi anak yang berusia 14 tahun sedang mandi.
5-Muhammad Badrul mendedahkan abang iparnya tidak pernah memukul ahli keluarga dan bertindak agresif.
Bapa berkenaan menyifatkan anak lelakinya itu yang peramah dan banyak cakap. Buat masa ini, si kecil berkenaan masih kritikal dan semalam ada menggerakkan kepala seolah ‘meminta tolong’.
Doktor maklumkan keadaan Muhammad Ammar sangat kritikal dan memerlukan pemantauan berterusan.
Terdahulu, SinarPlus berkongsi luahan Muhammad Badrul yang memohon doa orang ramai agar anaknya segera sembuh.
Sumber: Sinar Harian 1, 2