DI SEBALIK lontaran vokal lantang yang sering menggetarkan jiwa pendengar, siapa sangka, ada tersimpan hati yang pernah remuk dek rasa kecewa.
Masakan tidak, perjalanan sepuluh tahun dalam dunia seni bukan sekadar dihiasi anugerah dan sorakan, tetapi turut sarat dengan perit getir, jatuh bangun serta rasa tidak dihargai meskipun sudah mengerah segala-segalanya.
Sejak awal kemunculannya, Aina Abdul sudah menempuh pelbagai fasa. Namun, tempoh selepas menyertai Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) pada tahun 2019 sehingga kini bukanlah perjalanan mudah buat pelantun lagu Semalam itu.
Meski bekerja keras, pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani ini sering berdepan kecaman serta rasa sepi daripada penghargaan.
“Sepuluh tahun ini penuh perubahan dan liku. Kadang saya rasa perit, tetapi keperitan itu berbaloi.
Menguruskan syarikat sendiri, Aina Abdul Entertainment, juga bukan satu jalan yang mudah. Daripada aspek kewangan hingga cabaran untuk kekal relevan, semua itu menuntut pengorbanan yang cukup besar.
Lebih menyedihkan, apabila kerja kerasnya dipersoalkan, hatinya turut terluka. Situasi itu secara tidak langsung mengganggu kesihatan mentalnya.
“Macam mana saya nak lindung diri? Saya lakukan apa yang boleh menggembirakan diri sendiri. Ini termasuklah saya pergi Jakarta, bercuti dan bekerja dengan orang lain,” jelasnya.
Dalam masa sama, Aina cuba bersikap lebih terbuka dalam berkarya dan sudah membuka pintu kolaborasi bersama komposer lain.
“Selepas ini, saya harap dapat membuka ruang mencuba kerjasama dengan komposer lain pula,” luahnya jujur.
Penyanyi yang sinonim dengan vokal penuh emosi itu tidak menafikan komen negatif mampu menghakis semangat seorang insan seni.
Baginya, media sosial bukan sahaja membuka ruang rezeki, malah boleh mendatangkan tekanan jika tidak diurus dengan baik.
“Kita hidup di zaman media sosial. Macam mana pun, kita akan terbaca komen. Kadang orang tidak tahu apa yang kita lalui, hanya nampak hasil akhir. Itu yang buat saya terasa tidak dihargai,” katanya.
Namun, di sebalik rasa kecewa, Aina tetap percaya pada aturan ALLAH SWT. Baginya, setiap halangan yang hadir pasti membawa hikmah, meskipun pedih untuk ditelan.
Sesaat di Jakarta
Saat hati kian sarat dengan rasa kecewa, Aina memilih untuk membawa diri ke Jakarta.
Langkah yang pada awalnya sekadar usaha mencari ketenangan akhirnya bertukar menjadi takdir indah apabila dirinya menerima undangan penyanyi dan komposer popular, Fabio Asher, bersama pasukan kreatifnya.
“Daripada situ, saya jumpa warna baharu dalam berkarya,” ujarnya dengan penuh rasa syukur.
Bersama Fabio, Aina merasai pengalaman berbeza. Jika sebelum ini hampir semua karya lahir daripada fikirannya sendiri, kali ini dia belajar mempercayai lagu ciptaan orang lain, lalu menghidupkannya dengan jiwa serta suaranya yang penuh emosi.
“Fabio bawa saya ke dunia dia, perkenalkan saya dengan pasukannya. Saya rasa gembira, rasa diberi pintu baharu. Saat itu menjadi penyembuh bagi saya,” katanya.
Pertemuan itu akhirnya melahirkan single terbaharu berjudul Sesaat, yang dilancarkan pada 26 September lalu, selepas hampir setahun Aina tidak tampil dengan karya solo baharu.
Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia bersama Sony Music Entertainment Indonesia, Sesaat bukan sekadar lagu, tetapi simbol kolaborasi serantau yang membuka ruang untuk suara Aina menembusi sempadan.
Dicipta oleh Trakast, Fabio Asher dan Yafi Aria, dengan Yafi Aria serta Rico Andre sebagai penerbit, lagu berkenaan mengangkat kisah cinta yang hanya singgah seketika namun memberi harapan sebelum pergi meninggalkan luka.
“Sesaat adalah cerita tentang sebuah kehilangan yang berulang tetapi bagi saya, ia juga tentang kekuatan, bagaimana kita bangkit walaupun luka terasa semakin dalam,” ujarnya yang teruja apabila lagu itu dipilih sebagai runut bunyi drama bersiri Jika Cinta Itu Buta.