BARU-baru ini tular di laman sosial, video yang memaparkan seorang lelaki dan wanita di klinik kesihatan.
Tersebar meluas menerusi pelbagai platform media sosial, beberapa siri video berkenaan kemudiannya diarahkan untuk dihentikan penyebarannya.
Pemilik akaun Instagram iffahmzzln_ secara terbuka membuat permohonan maaf selepas melakukan kesilapan kerana berkongsi hal peribadi keluarga kepada umum.
"Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak atas keterlanjuran saya berkongsi sesuatu yang sepatutnya menjadi urusan peribadi keluarga.
"Saya akui bahawa tindakan tersebut dipengaruhi oleh emosi dan perasaan marah yang sukar saya kawal pada ketika itu," kongsinya.
Dalam pada itu, ibu kepada tiga cahaya tersebut mengakui, cuba menyelesaikan masalah berkenaan dengan cara yang betul dan profesional.
Malah, perkara berkenaan katanya telah menimbulkan aib kepada keluarga.
"Saya juga mohon jasa baik semua yang telah menerima, menonton, atau berkongsi semula video berkenaan supaya dapat menghentikan penyebaran.
"Hal ini bukan sahaja melibatkan aib diri saya dan pasangan, malah memberi kesan kepada anak-anak dan keluarga besar kami.
"Saya kini sedang berusaha menyelesaikan perkara ini melalui saluran yang betul. Saya amat berharap agar orang ramai dapat menghormati ruang peribadi saya, memberi sokongan, dan mendoakan agar urusan saya dipermudahkan. Terima kasih kerana memahami," kongsinya.
Insiden tular di TikTok baru-baru ini mencetuskan kekecohan apabila sebuah rakaman menunjukkan seorang wanita menyerbu suaminya di sebuah klinik kesihatan.
Menerusi semakan Sinarplus, wanita berkenaan dilihat telah memadam beberapa rakaman kejadian di akaun TikTok miliknya.
Dalam pada itu, menurut Mufti Negeri Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mendedahkan kecurangan pasangan ke media sosial sekali gus mendedahkan aib peribadi suami kepada awam adalah satu dosa besar.
"Dia tidak boleh menghalalkan tindakan itu dengan alasan suaminya pun berbuat dosa. Satu dosa tidak menghalalkan dosa yang lain.
"Mendedahkan keaiban suami hanya merosakkan nama diri sendiri dan juga anak-anak. Demikian suami juga tidak boleh melakukan hal yang sama kepada isteri," katanya.
Namun jika isteri ingin membantah membantah perbuatan curang suami boleh membantah terus kepada suami atau kes berkenaan dibawa ke mahkamah untuk pengadilan.
"Jika beliau sudah tidak dapat menerima suaminya, dia boleh menuntut fasakh atau perpisahan dengan mengemukakan alasan di mahkamah.
"Demikianlah jika suami meyakini isterinya curang, beliau menuduhnya di mahkamah secara li’an atau beliau boleh terus menceraikannya.
"Menjadikan netizen sebagai ‘mahkamah’ menilai dosa peribadi adalah perbuatan yang haram. Ini kerana, dosa tersebut tiada kaitan dengan nitizen dan tiada keperluan untuk mereka tahu," kongsinya.
Sumber: Instagram, Mufti Perlis